East Rutherford: Pengendali Perancis, Didier Deschamps menegaskan pasukannya masih belum mencapai tahap terbaik walaupun mara bergaya ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Sweden 3-0,pagi tadi.
Perancis menempah pertemuan dengan Paraguay, namun Deschamps berasakan kemenangan itu sepatutnya lebih besar selepas anak buahnya mensia-siakan beberapa peluang terbaik pada babak pertama.
“Kami melakukan apa yang perlu dilakukan walaupun sedikit berhati-hati dalam 15 minit pertama.
“Selepas itu, kami menunjukkan keupayaan mencipta peluang. Satu-satunya kekesalan ialah kami tidak cukup tajam pada separuh masa pertama.
“Kami sepatutnya sudah menamatkan perlawanan lebih awal, tetapi kami memaksa mereka bekerja keras dan ia menjadi lebih mudah selepas rehat,” kata Deschamps.
Deschamps gembira pasukannya melepasi halangan pertama di pusingan kalah mati dengan selesa, namun mengingatkan cabaran lebih sukar menanti.
“Peringkat kalah mati sentiasa sukar untuk semua pasukan, walaupun kami berjaya memudahkan tugas hari ini. Kami baru berada di pusingan 16 terbaik,” katanya.
Beliau turut menolak sebarang rasa terlalu yakin meskipun Perancis terus mengukuhkan status sebagai antara calon utama juara.
“Kami tidak akan terlalu hanyut. Kami akan menikmati kemenangan ini, kemudian kembali fokus dalam tempoh 48 jam.
“Kami tahu apa yang menanti dalam tempoh empat hari lagi. Mula-mula kami akan menikmati kemenangan ini, kemudian kami perlu bersedia untuk mengulanginya sekali lagi,” tambahnya.
Perancis tampil cemerlang sepanjang kejohanan dengan meledak 13 gol dalam empat perlawanan, namun Deschamps mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu menjulang trofi buat kali ketiga.
“Kami perlu terus meningkatkan tahap permainan kerana lawan selepas ini akan lebih kuat. Mereka akan menyerang dan bertahan dengan lebih baik.
“Masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki. Kami memberi terlalu banyak peluang kepada lawan walaupun Mike Maignan beraksi cemerlang. Kami perlu membuat sedikit penyesuaian daripada segi posisi, tetapi para pemain sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain,” ujar Deschamps.
Beliau turut memuji semangat berpasukan yang menjadi kekuatan utama Perancis setakat ini.
“Terdapat keserasian yang sangat baik apabila kami menguasai bola ketika berdepan pasukan yang bertahan rapat, dan apabila kehilangan bola semua pemain sanggup bekerja keras. Semua pemain memainkan peranan.
“Saya berpuas hati dan bangga dengan perkara itu. Kini kami perlu mengekalkannya dan terus mengulanginya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




