razis@hmetro.com.my
Serdang: Strategi Tourism Malaysia mengalihkan fokus promosi ke pasaran yang lebih stabil seperti ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Eropah, Afrika Utara dan Oceania dilihat mampu mengurangkan risiko kebergantungan industri pelancongan negara kepada satu-satu rantau.
Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Siti Suriawati Isa berkata, langkah itu adalah antara pendekatan alternatif yang amat sesuai dilaksanakan pada masa ini susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
“Sekiranya satu pasaran merosot, pasaran lain boleh menampung kehilangan itu terutama ketika berlakunya konflik seperti sekarang.
“Dengan pengalihan fokus Tourism Malaysia kepada pasaran ini, momentum kemasukan pelancong dapat terus dikekalkan sekali gus membantu menjayakan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Siti Suriawati berpendapat pasaran yang berpotensi memberi impak paling besar ialah negara-negara ASEAN dan China di rantau Asia Timur.
“Secara tradisinya, negara-negara ASEAN adalah penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke Malaysia, iaitu sekitar 75 hingga 80 peratus daripada keseluruhan jumlah ketibaan pelancong.
“Faktor geografi, kemudahan akses melalui laluan darat yang menghubungkan negara-negara ASEAN, selain pengangkutan udara, rel dan laut serta kos perjalanan yang lebih rendah menjadikan rantau ini penyumbang utama pelancongan negara.
“Di samping itu, negara-negara ASEAN mempunyai persamaan dari segi budaya dan kesenian, sekali gus menjadikan pelancong lebih selesa untuk melancong ke negara serantau,” katanya.
Beliau berkata, pasaran China turut menunjukkan peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia secara konsisten setiap tahun.
“Menurut statistik yang dikeluarkan Tourism Malaysia, jumlah pelancong dari China pada 2025 ialah 4.7 juta orang berbanding 3.72 juta orang pada tahun sebelumnya.
“Mereka juga antara penyumbang terbesar dari segi perbelanjaan bagi setiap pelancong, khususnya dalam kategori pelancong mewah. Pelanjutan dasar pengecualian visa serta peningkatan kekerapan penerbangan terus menjadikan pasaran China pemacu utama pendapatan pelancongan negara selain negara-negara ASEAN,” katanya.
Siti Suriawati berkata, selain mengalihkan fokus pemasaran, beberapa langkah tambahan juga boleh diambil oleh kerajaan dan pemain industri bagi memperkasakan sektor pelancongan serta memastikan sasaran ketibaan dan pendapatan pelancongan negara tidak terjejas.
“Antaranya ialah memperkukuh pasaran domestik secara berterusan menerusi kempen seperti Jom Cuti-Cuti Malaysia bagi memastikan perbelanjaan pelancongan terus kekal dalam negara sekiranya jumlah pelancong antarabangsa menyusut.
“Selain itu, tawaran pakej penerbangan dan pemasaran bersama antara agensi kerajaan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan pada musim luar puncak mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke sesuatu destinasi, sekali gus membantu merancakkan aktiviti perniagaan yang suram,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya aktiviti pelancongan diperluaskan ke destinasi baharu di luar bandar yang mempunyai potensi tinggi untuk menarik lebih ramai pelancong domestik.
“Pada masa sama, pembangunan produk pelancongan yang menepati cita rasa pasaran semasa seperti ekopelancongan, pelancongan gastronomi, pelancongan perubatan, glamping serta aktiviti memerhati burung mampu meningkatkan perbelanjaan pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Tourism Malaysia mengalihkan fokus promosi pelancongan ke pasaran lebih stabil termasuk ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Eropah, Afrika Utara dan Oceania sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesan konflik di Asia Barat terhadap industri pelancongan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man dipetik berkata, langkah itu diambil bagi memastikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak terjejas susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Beliau dilaporkan berkata keberkesanan strategi berkenaan disokong oleh prestasi semasa apabila ketibaan pelawat dari rantau Asia Pasifik bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat 35 peratus kepada 15.2 juta orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




