
Dewan Rakyat sudah dimaklumkan peletakan jawatan Rafizi, Nik Nazmi.
SHAH ALAM – Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Isnin.
Menerusi satu kenyataan ringkas, pejabat itu berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan.
“Salam semua, notis perletakan jawatan daripada DS Rafizi Ramli dan Tuan Nik Nazmi telah diterima oleh Pejabat YPDR. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa. Terima kasih semua,” katanya pada Isnin.
Pada Ahad, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), seterusnya akan mengosongkan kerusi yang disandang masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya pada Ahad.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
Rafizi dan Nik Nazmi dalam program sama mengesahkan mengambil alih Bersama, iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.



