Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menggesa istilah ‘kuil haram’ tidak digunakan sewenang-wenangnya terhadap rumah ibadat yang berdepan isu tanah atau kelulusan.
Masyarakat India tak selesa
Memetik laporan daripada Astro Awani, ketuanya, Kumaresan Baby Kalidawson menyatakan, penggunaan label berkenaan membuatkan masyarakat India berasa tidak selesa kerana boleh mengguris perasaan mereka.
“Kita sering mendengar istilah ‘kuil haram’ digunakan apabila timbul isu berkaitan tanah atau status sesebuah kuil.
“Saya ingin tegaskan bahawa masyarakat India tidak selesa dan tidak suka apabila rumah ibadat mereka dilabel sebagai ‘kuil haram’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Foto: Muktamar Tahunan PAS
Menurut Kumaresan, sebarang isu melibatkan geran tanah, kelulusan, perancangan atau perundangan seharusnya diselesaikan menerusi proses yang adil dan berhemah.
“Jika terdapat masalah dari segi geran tanah, kelulusan, perancangan atau undang-undang, perkara ini perlu diselesaikan melalui proses yang adil dan berhemah.
“Bukan dengan memberikan label yang boleh mengguris perasaan sesuatu kaum,” katanya.
Foto: Muktamar Tahunan PAS
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh dan sistematik terhadap rumah ibadat yang berdepan masalah status tanah.
Kumaresan turut mencadangkan pendekatan kerajaan Kedah dalam menangani isu rumah ibadat dijadikan sebagai contoh.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara khusus pendekatan atau kes di Kedah yang dirujuk dalam ucapannya.
Sumber: Astro Awani
