Lebih RM300 juta disalur, 14,000 pelajar terima bantuan pendidikan MIC – Ketua Putera

Lebih RM300 juta disalur, 14,000 pelajar terima bantuan pendidikan MIC – Ketua Putera

Pendidikan terus menjadi antara teras utama perjuangan MIC dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini, dengan lebih RM300 juta disalurkan menerusi biasiswa dan bantuan pendidikan sejak 1984.

Lebih RM300 juta disalur, 14,000 pelajar terima bantuan pendidikan MIC – Ketua Putera

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, menerusi MIED, MIC telah membantu lebih 14,000 pelajar sepanjang tempoh lebih empat dekad, sekali gus membuktikan perjuangan parti itu tidak hanya tertumpu kepada arena politik.

“Sejak tahun 1984 hingga 2026, MIC melalui MIED telah menyalurkan biasiswa serta bantuan pendidikan kepada lebih 14,000 pelajar dengan nilai keseluruhan melebihi RM300 juta.
“Rekod ini membuktikan bahawa perjuangan MIC tidak pernah terbatas kepada politik semata-mata, sebaliknya turut berteraskan kebajikan sosial, pemerkasaan komuniti dan kemajuan pendidikan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, aspirasi tersebut kini diteruskan oleh generasi muda parti melalui pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada akses pendidikan dan peluang pembangunan anak muda.

Beliau berkata, Putera MIC Kedah sebagai contoh berjaya mengusahakan serta menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM70,000 kepada golongan muda daripada keluarga B40 bagi membantu mereka melanjutkan pengajian.

“Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi serta pihak swasta bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat akses kepada peluang pendidikan.
“Ini menunjukkan bahawa agenda pendidikan bukan sekadar perjuangan generasi terdahulu, malah terus diperkasakan oleh generasi muda MIC yang memahami kepentingan ilmu dalam mengubah kehidupan,” ujarnya.

Dr Shatesh berkata, Putera MIC Kebangsaan akan terus memberi perhatian terhadap beberapa aspek penting termasuk pembangunan kemahiran, kebolehpasaran graduan dan mobiliti sosial anak muda.

Katanya, pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah mampu mengubah kedudukan ekonomi sesebuah keluarga dan komuniti.

“Bagi Putera MIC, membantu seorang anak muda mendapatkan pendidikan bukan sekadar satu bentuk bantuan, tetapi satu pelaburan untuk mengubah masa depan sebuah keluarga dan seterusnya memperkukuh masa depan masyarakat.
“Atas sebab itu, agenda pendidikan, pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran graduan akan terus menjadi antara teras utama perjuangan kami dalam memastikan anak muda mempunyai peluang untuk membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Scroll to Top