VIDEO seorang doktor memakai uniform rasmi pegawai perubatan putih berjalan di tengah runtuhan bangunan menuju ke kereta kebal Israel adalah rakaman video terakhir Dr Husam Abu Safiyah, pengarah Hospital Kamal Udwan sebelum ditahan oleh tentera Israel.
Sehingga kini, tiada siapa mengetahui apa berlaku kepadanya dan di mana dia ditahan.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Doktor-doktor Perubatan Israel mendakwa Israel sehingga kini (6 Januari 2025) tidak membenarkan peguam bertemu dengan Dr Husam. Bahkan surat pertubuhan berkenaan untuk mengetahui di mana dia ditahan juga tidak dilayan.
Seorang Ahli Parlimen Israel berbangsa Arab turut menghantar surat serupa kepada Menteri Pertahanan, namun tiada sebarang maklumat diberikan.
Dr Husam Abu Sofiyah adalah pakar kanak-kanak yang bertugas sebagai pengarah Hospital Kamal Udwan. Ia adalah hospital terakhir di Utara Gaza yang beroperasi sebelum ditutup secara paksa 27 Disember lalu.
Husam anak tempatan yang dilahirkan di Mukhayyam Jabaliya.
Awal Oktober 2024, tentera pengganas Israel menceroboh Hospital Kamal Udwan, menahan pengarahnya serta mengarahkan petugas-petugasnya meninggalkan hospital berkenaan.

Dr Husam terpaksa membayar dengan harga yang mahal termasuk mengorbankan nyawa anaknya sendiri. Selepas dia dibebaskan, anaknya Ibrahim dibunuh oleh tentera Israel dalam serangan udara pada 26 Oktober.
Pada 18 November 2024 tersebar rakaman perbualan Dr Husam yang sedang menghubungi pihak-pihak di luar memohon pertolongan dan bekalan ubat-ubatan untuk Hospital Kamal Udwan.
Pada 24 November, sekali lagi Dr Husam ditimpa malang apabila dia sendiri cedera terkena serangan drone sebaik keluar dari dewan bedah. Enam keping serpihan peluru memutuskan urat dan mencederakan pahanya.
Israel ingin memaksanya dan memaksa semua petugas kesihatan agar menghentikan rawatan kepada orang awam dan beredar dari hospital berkenaan. Hospital berkenaan dituduh sebagai markas kumpulan pengganas HAMAS. Tuduhan yang sama ketika Israel memaksa penutupan Hospital As Syifa’ tahun lalu.
Sekiranya hospital ini menghentikan perkhidmatannya, di manakah lagi tempat yang boleh memberikan rawatan kepada warga yang cedera. Dr Husam dan krewnya tetap dengan pendirian mereka tidak berganjak dari hospital berkenaan.
Akibatnya, pada 27 Disember, tentera pengganas menceroboh hospital, membakarnya dan menahan 350 orang petugas termasuk pengarahnya, Dr Husam. Hospital Kamal Udwan ditutup sepenuhnya menjadikannya hospital terakhir di Utara Gaza.

Dr Husam ditahan atas dakwaan disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan serta didakwa menyertai HAMAS. Dakwaan yang disifatkan oleh Dr Husam sendiri sebagai ‘cakap kosong’.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Doktor-doktor Perubatan Israel menegaskan bahawa ahli-ahli perubatan adalah golongan yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi antarabangsa. Memusuhi mereka bererti memusuhi seluruh manusia.
Menangkap dan menyerang doktor bererti menangkap dan menyerang semua orang sakit yang memerlukan rawatan.
Tidak diketahui dimana Dr Husam sekarang. Namun CNN melaporkan bahawa beberapa orang banduan memberitahu wartawannya bahawa, Dr Husam ditahan di Sde Teiman, pusat tahanan Israel yang punya rekod buruk di sudut hak asasi manusia.
Sehingga kini 1,056 orang petugas kesihatan terbunuh syahid dalam konflik di Gaza. 350 orang ditangkap. 70 daripada mereka terbunuh di dalam penjara dalam tempuh beberapa bulan ini.
Sebagai perbandingan, hanya 9 orang mati dalam tahanan di Guantanamo selama 22 tahun.
Gaza kini menjadi kawasan bencana kemanusiaan paling dahsyat di dunia apabila lebih 155,000 warganya dibunuh dan dicederakan. Beberapa belas ribu lagi masih tertimbus di bawah runtuhan.
ARIS HAZLAN ISMAIL
Catatan tragedi hari ke-458 – HARAKAHDAILY 7/1/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.








