KUALA LUMPUR: Pelakon, Jaa Suzuran melahirkan rasa kesal apabila masih ada segelintir masyarakat yang memandang rendah golongan ibu tunggal.
Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad, 32, berkata status seseorang wanita tidak seharusnya menjadi ukuran dalam menentukan nilai diri mereka.
Malah, pelakon itu mengakui terbuka untuk mengenali wanita berstatus ibu tunggal sekiranya wujud keserasian dalam hubungan.
“Ibu tunggal sebenarnya sangat saya alu-alukan untuk dikenali. Saya mahu tekankan satu perkara, kadang-kadang apabila orang mendengar sahaja status itu, mereka mula memandang remeh dan memperlekehkan.
“Bagi saya, itu satu kesilapan besar. Di mata saya, mereka sangat baik dan bagus. Saya tidak mengamalkan sikap berat sebelah. Sama ada dia seorang janda atau anak dara, bagi saya tetap sama.
“Segalanya kembali kepada sikap dan tingkah laku individu, bukan kerana gelaran,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem Tiket Sehala baru-baru ini.
Mengulas mengenai tindakannya berkongsi borang ‘Persatuan Single Malaysia’ menerusi aplikasi Threads yang tular baru-baru ini, Jaa berkata inisiatif itu sekadar membuka ruang kepada individu yang mahu berkenalan di ruang maya.
Menurutnya, hantaran berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai golongan wanita, termasuk mereka yang baru sahaja berakhirnya hubungan cinta.
“Saya bukan jenis yang menunggu orang mendekati saya. Saya sendiri akan mulakan langkah. Alhamdulillah, sambutan memang hangat dan ada yang benar-benar ikhlas mahu berkawan.
“Ada juga yang baru tiga hari putus cinta sudah mengisi borang. Perkara itu saya tapis dahulu kerana mereka mungkin masih dalam proses untuk pulih. Saya mencari seseorang yang sekurang-kurangnya sudah sebulan bergelar solo,” katanya berseloroh.
Ditanya mengenai keberaniannya mencari pasangan menerusi media sosial yang terdedah kepada risiko penipuan, pelakon filem Autumn in Wales itu berkata dia yakin mampu menilai keikhlasan seseorang berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
“Daripada pengalaman yang ada, saya boleh kesan mana satu yang baik dan mana yang tidak. Kadang-kadang hanya melalui cara seseorang berkomunikasi, saya sudah boleh menilai.
“Walaupun belum berkahwin, saya rasa saya mempunyai pengalaman untuk memahami niat seseorang,” katanya.
Berkongsi mengenai ciri wanita idaman, Jaa berkata dia mencari pasangan yang mempunyai keserasian dengannya, selain cantik pada pandangannya sendiri.
Katanya, dia lebih cenderung kepada wanita berhijab, namun tidak menutup peluang sekiranya wanita berkenaan masih dalam proses memperbaiki diri.
“Pertama mestilah wanita. Kedua, kalau boleh biarlah satu kepala dan cantik pada pandangan saya. Orang lain mahu kata tidak cantik, itu terpulang kepada mereka.
“Kalau boleh yang berhijab, tetapi kalau belum pun tidak mengapa. Kita boleh bimbing perlahan-lahan,” katanya.
Setakat ini, Jaa memaklumkan dia masih belum mempunyai hubungan serius, sebaliknya hanya berada dalam fasa mengenali beberapa individu secara santai. -UTUSAN




