Di sebalik jeriji besi, Eda Ezrin menyanyi, mengaji al-Quran

Di sebalik jeriji besi, Eda Ezrin menyanyi, mengaji al-Quran

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penyanyi Eda Ezrin hari ini berkongsi pengalamannya ketika menghabiskan masa sembilan bulan di Penjara Narathiwat, Thailand.

Ibu kepada dua anak itu menceritakan kehidupannya di sebalik tirai besi menerusi sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya, yang meraih lebih 26,000 tontonan setakat jam 5.30 petang.

Dia memulakan siaran langsung dengan bercerita kepada peminat mengenai bilik yang didiaminya sejak November tahun lalu.

Eda Ezrin berkata, dia ditempatkan di sebuah bilik besar bersama kira-kira 50 banduan lain, termasuk warga Thailand, bersama dua rakannya.

“Kami dilayan dengan baik oleh pihak pengurusan penjara dan dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk solat berjemaah, menyanyi dan juga bersolek.

“Saya dan dua rakan bukan banduan pesalah tetapi tahanan reman, jadi kami tidak dibenarkan bekerja.

“Rutin harian kami kebanyakannya menyanyi, berbual dan belajar mengaji al-Quran,” katanya.

Namun, dia menambah bahawa semua penghuni perlu mematuhi peraturan ketat penjara pada setiap masa.

Eda menggambarkan detik paling menyedihkan ialah berjauhan dengan insan tersayang.

“Paling sukar ialah apabila saya merindui anak-anak, suami dan keluarga, terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Ketika itu saya berasa sangat sedih dan hancur hati, dan yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa,” katanya.

Hampir 3,000 peminat yang meninggalkan komen ketika siaran langsung itu menyatakan sokongan kepada Eda, memberi semangat kepadanya agar terus tabah.

Pada November 2024, Eda yang nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, dan empat yang lain ditahan di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand.

Pihak berkuasa merampas 6,059 pil yaba (methamphetamine) dalam serbuan di sebuah hotel.

Kumpulan itu berdepan pertuduhan memiliki dadah dengan niat untuk mengedar serta penggunaan dadah.

Pada 6 Mac tahun ini, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda dan rakan tertuduh lain daripada pertuduhan lebih serius iaitu pemilikan dadah.

Bagaimanapun, mereka disabitkan kesalahan penggunaan dadah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht Thai (kira-kira RM526) setiap seorang.

Namun, kerana telah menjalani tahanan lebih empat bulan serta menunjukkan kelakuan baik, hukuman itu diketepikan.

Walaupun dibebaskan, pihak pendakwa raya Thailand mengemukakan beberapa rayuan dan diberikan lanjutan tahanan sehingga lima kali, dari Mac hingga awal bulan lalu.

Pada 6 Ogos, rayuan itu digugurkan kerana kekurangan bukti Eda, suami serta yang lain dibebaskan selepas lebih sembilan bulan ditahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top