Di sebalik lambaian kanak-kanak teruja tengok keretapi, tersimpan rindu seorang ayah

Di sebalik lambaian kanak-kanak teruja tengok keretapi, tersimpan rindu seorang ayah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya tak sangka apa dilakukan itu akan dapat perhatian dan besar maknanya buat mereka kerana sedar diri ini hanya insan yang kerdil.

“Tapi saya gembira dan bersyukur sangat jika apa dilakukan itu memberi kegembiraan kepada orang lain.”

Itu kata Muhammad Ariff Asslam Mazli, 31, iaitu pembantu pemandu lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mendapat perhatian selepas tular videonya melambai kanak-kanak dari dalam tren.

Menerusi video itu, kanak-kanak berkenaan kelihatan teruja sebaik kereta api berkenaan lalu melintas di hadapan mereka walaupun hanya dapat melihat daripada kejauhan.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Ariff Asslam berkata, dia tidak sedar pun video berkenaan dirakam dan agak terkejut selepas ia tular di media sosial.

Muhammad Ariff Asslam mengakui tersentuh selepas membaca komen warganet kerana rata-ratanya positif malah turut menitipkan doa buatnya.

“Sudah lebih empat tahun saya berkhidmat dengan KTMB dan pada awalnya bertugas sebagai kru penyelenggara am sehingga ada pada tahap sekarang.

“Tapi ini kali pertama kisah saya tular dan jujurnya perasaan terkejut, takut, sedih juga tak sangka bercampur baur.

“Saya tak harap pun tapi cuba buat kerja dengan sehabis baik dan seikhlas hati. Ikutkan, kerja kami ini dilatih untuk peka dengan sekeliling bila bergerak dari satu lokasi hingga ke destinasi dituju.

“Tapi saya percaya, Allah SWT yang gerakkan pandangan untuk lihat kanak-kanak itu tempoh hari dan jika ternampak, saya pasti akan berikan lambaian semula,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Muhammad Ariff Asslam, dia membesar di Gemas, Negeri Sembilan dan pernah berada dalam situasi sama iaitu teruja melihat kereta api melintas ketika kanak-kanak dahulu.

“Dulu pun saya macam mereka, suka tunggu dan tengok kereta api melintas dengan kawan.

“Jadi saya faham perasaan kanak-kanak itu kerana anak saya pun begitu.

“Kerja ini menuntut komitmen jadi masa dengan anak agak terhad kerana lebih banyak habiskan waktu dalam kereta api.

“Jadi bila ternampak kanak-kanak itu melambai dari kejauhan, terubat rindu kepada anak,” katanya.

Muhammad Ariff Asslam berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan menitipkan kata positif buatnya.

Dia berharap semoga dapat terus berkhidmat dengan KTMB kerana niatnya adalah mencari rezeki bagi menyara isteri, Siti Nor Shafira Ithnin, 31 dan empat anak berumur antara empat bulan hingga tujuh tahun.

“Walaupun bermula daripada bawah, saya bersyukur kerana KTMB beri peluang untuk saya belajar banyak perkara dan paling penting kesempatan cari rezeki buat keluarga.

“Saya tak harap kaya pun tapi cukup dapat beli apa saja buat diri sendiri, keluarga dan besarkan anak hingga mereka dewasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top