FIFA sedia dana pembangunan

FIFA sedia dana pembangunan

Zurich: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merancang menyediakan dana pembangunan bernilai AS$6.35 bilion (RM27 bilion) bagi tempoh empat tahun dari 2026 hingga 2030, yang membolehkan setiap persatuan anggota menerima sehingga AS$25 juta (RM106 juta).

Cadangan itu dijangka mendapat kelulusan dalam mesyuarat Majlis FIFA di Zurich, Switzerland, Khamis ini, ketika badan induk bola sepak dunia berkenaan berdepan tekanan berhubung isu tadbir urus dan kepimpinan presidennya, Gianni Infantino.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, dana berkenaan akan disalurkan kepada 211 persatuan anggota FIFA serta konfederasi bola sepak serantau.

Pembiayaan itu dijangka menggunakan sebahagian rizab kewangan FIFA susulan kejayaan komersial Piala Dunia 2026.

Jika diluluskan, setiap persatuan anggota berpeluang menerima AS$25 juta, jauh lebih tinggi berbanding AS$10 juta yang sebelum ini dicadangkan oleh dua pengkritik utama Infantino, Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin dan Presiden CONCACAF, Victor Montagliani.

Mesyuarat itu menjadi pertemuan pertama Majlis FIFA sejak 28 April lalu, ketika badan berkenaan berdepan krisis tadbir urus susulan cadangan Infantino membuka ruang kepada pelabur swasta untuk memiliki kepentingan dalam kejohanan utama FIFA, termasuk Piala Dunia.

Bagaimanapun, rancangan itu akhirnya dibatalkan selepas menerima bantahan meluas daripada komuniti bola sepak dunia, dengan UEFA, CONCACAF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengetuai penentangan berkenaan.

Pada penghujung September lalu, Infantino memulakan proses rundingan dengan persatuan anggota bagi memperbaharui cara FIFA beroperasi, termasuk menambah baik sistem tadbir urus badan induk itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan awal hasil proses berkenaan boleh dibentangkan seawal mesyuarat Majlis FIFA, Khamis ini.

Infantino, 56, yang menerajui FIFA sejak 2016, dijadual mempertahankan jawatannya pada pemilihan Presiden FIFA Mac 2027.

Bagaimanapun, pihak yang menentang kepimpinannya setakat ini masih belum mencapai kesepakatan untuk mengemukakan seorang calon bersama bagi mencabar beliau.

Ceferin pula memilih untuk mempertahankan jawatan Presiden UEFA, manakala Montagliani dilaporkan dijangka turut bertanding bagi penggal baharu sebagai Presiden CONCACAF.

Tarikh akhir penyerahan pencalonan bagi pemilihan Presiden FIFA ditetapkan pada 18 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top