Luahan menyentuh hati anak kepada Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, mengundang sebak dan doa orang ramai apabila beliau kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Perkongsian itu dibuat oleh anaknya, Husna Hashim, menerusi satu video di TikTok yang memaklumkan bapanya beberapa kali menyuarakan hasrat untuk pulang dan berehat.
“Abah beritahu dia nak balik. Berulang kali juga abah sebut, abah nak rehat di akhirat. Abah kata dia sayang semua anak-anak abah.
“Kami pun sayang abah. Semoga abah cepat sihat,” katanya yang dipetik menerusi video berdurasi 26 saat itu.
Berulang kali abah sebut nak balik, rehat di akhirat..
Video tersebut pantas meraih perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan doa serta kata-kata semangat buat beliau dan keluarga.
Dalam satu lagi video yang dimuat naik di akaun TikTok sama, Husna memaparkan keadaan Hashim, 87, yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.

Sementara itu, akaun rasmi Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (Pas) turut memaklumkan bahawa beliau kini sedang menerima rawatan di hospital dan memohon semua pihak melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kesembuhan serta kesejahteraannya.
“Buat masa ini, Tuan Guru tidak dapat menerima kunjungan ziarah kerana keadaan tidak mengizinkan.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial tersebut.
Untuk rekod, Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama (MSU) Pas susulan pemergian Allahyarham Haron Din pada 16 September tahun sama.
Artikel lain: Beri kuasa dulu, baru pembangkang ketengahkan calon PM – Hashim Jasin
Orang ramai terus menzahirkan harapan agar tokoh berusia 87 tahun itu diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.






