'Dia satu dalam sejuta' – Suami terharu isteri setia teman cari rezeki walau hamil, hidap barah

'Dia satu dalam sejuta' – Suami terharu isteri setia teman cari rezeki walau hamil, hidap barah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Biarpun menghidap barah usus tahap dua, asma kronik dan hamil empat bulan, wanita dikenali Ezu setia menemani suami tercinta yang mencari rezeki sebagai mekanik ‘bergerak’ di sekitar Lembah Klang.

Ada waktunya, Ezu, 37, yang menetap di Saujana Utama, di sini menemani suami dikenali Akmar, 34, sehingga awal pagi dan bantu dalam berurusan dengan pelanggan.

Ezu yang disahkan menghidap barah tiga tahun lalu sanggup menjadi peneman kerana enggan suaminya bersendirian dan bersyukur dibantu keluarga bagi menjaga anak empat anak di rumah.

Ezu berkata, dia yang memberi idea kepada Akmar untuk menawarkan khidmat sebagai ‘pomen bergerak’ kerana tahu minat suaminya dan enggan lelaki itu mensia-siakan kemahiran yang ada.

Lagipun, Ezu berkata, suaminya pernah membuka bengkel di Felda Kampung Sertik dekat Bentong, Pahang sebelum berhijrah ke ibu kota.

“Saya tengok suami ada minat mendalam dengan kerja sebagai ‘pomen’ dan sebab itu beri galakan hingga sanggup teman dia setiap kali keluar bekerja.

“Dia (suami) pernah cuba buat kerja lain tapi akhirnya tak bertahan sebab bukan jiwanya.

“Jadi saya beri idea kepada suami untuk tawarkan khidmat sebagai ‘pomen’ di lebuh raya kerana nampak ada keperluannya dan awalnya dia kata susah sebab fikirkan kena bergerak seorang.

“Disebabkan itu, saya teman dia ronda cari pelanggan dan bantu rakam video kemudian kongsi di media sosial untuk promosikan servis ditawarkan,” katanya yang sudah menjalani dua pusingan kemoterapi di Hospital Sungai Buloh, di sini.

Walaupun belum sembuh, Ezu mengakui suami dan anak menjadi penguat semangat untuk dia meneruskan hidup.

“Saya masih ada rawatan yang perlu dijalankan cuma mengenai sakit, saya tak nak terlalu memikirkannya.

“Saya pun bersyukur kerana suami terima saya sejak awal perkenalan lagi walaupun dia lebih muda dan tahu saya ibu tunggal ketika itu.

“Sekarang pun, saya nampak semangatnya bekerja dan terharu kerana suami pernah kata dia kerja kuat sebab nak saya dengan anak hidup senang,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Akmar berkata, bermacam dugaan ditempuh sepanjang empat bulan menawarkan khidmat sebagai mekanik ‘bergerak’.

Katanya, pelanggan ditemui juga bermacam ragam kerana ada yang tidak membayar upah dengan alasan tiada duit.

“Itu belum lagi cabaran cuaca terutama pada hari hujan dan ada hari, tak dapat pelanggan langsung.

“Tapi isteri tetap setia malah sanggup teman saya keluar bekerja walaupun dia tak sihat.

“Jadi kenapa saya nak fikirkan soal letih kerana buat kerja apa pun penat. Demi isteri tercinta, penat macam mana pun saya redah.

“Lagipun, bukan mudah nak dapatkan isteri sepertinya kerana bagi saya, dia satu dalam sejuta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top