Abai anak OKU hingga mati, hukuman penjara 6 bulan dinaikkan kepada dua tahun

Abai anak OKU hingga mati, hukuman penjara 6 bulan dinaikkan kepada dua tahun

am@hmetro.com.my

Melaka: “Mahkamah sedar bukan mudah menjaga anak yang menghidap palsi serebrum (CP), namun berpendapat hukuman penjara enam bulan tidak mencukupi sebagai pengajaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan pada masa depan,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, DJP Suria Kumar dalam prosiding semakan kehakiman jenayah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengetepikan hukuman penjara enam bulan diputuskan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh terhadap warga Indonesia, Easta Masa Pangala ,42, atas kesalahan mengabaikan anak perempuannya orang kurang upaya (OKU) sehingga meninggal dunia tahun lalu.

Mahkamah menggantikan hukuman itu dengan penjara dua tahun bermula dari tarikh penghakiman asal pada 17 Disember 2025.

Sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dalam subseksyen (1), tertuduh juga hendaklah menyempurnakan suatu bon berkelakuan baik bercagar RM3,000 dengan seorang penjamin selama setahun selepas tamat hukuman penjara dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh jatuh hukum di mahkamah tinggi.

Suria Kumar berkata, penelitian terhadap rekod prosiding dan fakta kes mendapati berlaku pengabaian serius oleh tertuduh kerana gagal mendapatkan rawatan perubatan untuk anaknya selepas mangsa terjatuh di bilik air sekitar Mei 2025 hingga patah kaki.

Katanya, kegagalan itu berterusan apabila tertuduh tidak mendapatkan bantuan jiran atau menghubungi ambulans bagi membawa mangsa ke hospital sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak berkenaan pada 23 Jun 2025.

Menurutnya, walaupun pesakit CP mempunyai jangka hayat tertentu, kesengsaraan dan penderitaan mereka tidak boleh dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya.

Terdahulu, pembelaan diwakili peguam Ahmad Aizat Ab Rahman memohon hukuman Mahkamah Sesyen dikekalkan dengan mengambil kira pengakuan bersalah, kesalahan pertama serta latar belakang tertuduh.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman lebih berat dengan alasan kegagalan mendapatkan rawatan awal menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru seperti dinyatakan dalam laporan bedah siasat.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menganiaya anak perempuannya, Rutnaomi Renny, berusia sembilan tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Taman Kota Laksamana, di sini, pada jam 9.45 pagi antara akhir April 2025 hingga 23 Jun 2025.

Kes didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (AKK) 2001, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top