
WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam memfailkan saman terhadap Twitter Inc, Facebook Inc, dan Google, serta ketua-ketua eksekutifnya, atas dakwaan mereka membungkam pandangan konservatif secara tidak sah.
Dalam tuntutan yang dikemukakan di Mahkamah Daerah AS di Miami, Trump mendakwa platform-platform media sosial yang berpusat di California itu mencabuli hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Pindaan Pertama Perlembagaan AS.
Trump memohon status tindakan kelas bagi tuntutan undang-undang itu, yang bermaksud beliau akan mewakili kepentingan pengguna Twitter, Facebook, dan YouTube lain yang mendakwa mereka turut dibungkam secara tidak adil.
Beliau memfailkan tiga saman dengan dakwaan serupa – satu terhadap Facebook dan CEOnya, Mark Zuckerberg, satu terhadap Twitter dan CEOnya Jack Dorsey, dan satu lagi terhadap Google dan Sundar Pichai, sebagai CEOnya.
“Kami akan mencapai kemenangan bersejarah untuk kebebasan AS dan pada masa yang sama, kebebasan bersuara,” kata Trump pada sidang media di Bedminster, New Jersey.
Trump kehilangan “suaranya” di media sosial tahun ini selepas syarikat-syarikat berkenaan mendakwa beliau melanggar dasar mereka yang menentang keganasan digahkan.
Ratusan penyokongnya merusuh di Capitol AS pada 6 Jan susulan ucapan Trump yang mengulangi tuduhan palsu bahawa kekalahannya dalam pilihan raya diakibatkan oleh penipuan yang meluas, dakwaan yang ditolak beberapa mahkamah, pegawai pilihan raya negeri dan anggota pentadbirannya sendiri.
Tuntutan undang-undang yang difailkan Trump semalam meminta hakim membatalkan Seksyen 230 Akta Kesopanan Komunikasi, undang-undang yang disebut sebagai tulang belakang Internet kerana ia melindungi laman web daripada liabiliti terhadap kandungan yang disiarkan oleh pengguna.
Kata Trump, seksyen berkenaan memberi syarikat gergasi Internet terlalu banyak perlindungan dari segi undang-undang dan membenarkan mereka lepas tangan atas tindakan mereka.




