Bangkok: Salah seorang lelaki terkaya di Thailand memecat sepupunya daripada empayar perniagaan bir Singha pada 19 Mei selepas timbul kontroversi berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap adik lelakinya sendiri.
Aktivis alam sekitar, Siranudh Scott, waris keluarga Bhirombhakdi yang mengawal jenama bir terkenal di Thailand itu, memuat naik video penuh emosi di Facebook baru-baru ini dengan mendakwa abang kandungnya berulang kali menderanya ketika zaman remaja.
Siranudh mendakwa, semua ahli keluarganya mengetahui perkara itu kerana mereka mendengar rakaman pengakuannya, namun tiada sesiapa mengambil tindakan.
“Saya tidak lagi mahu dirujuk sebagai ‘waris Singha’, tidak mahu tinggal dalam keluarga yang tidak menghargai saya atau mempunyai empati terhadap saya… saya tidak boleh hidup dengan golongan seperti ini,” katanya sambil menangis.
Lelaki berusia 29 tahun itu, yang bapanya berasal dari Scotland, adalah aktivis pemuliharaan marin dan pengasas kumpulan Sea You Strong yang aktif di perairan selatan Thailand.
Difahamkan, kenyataannya mencetuskan beberapa hari liputan utama dalam media Thailand.
Syarikat induk konglomerat itu, Boon Rawd Brewery Company berkata, abang Siranudh, Sunit, sudah ‘dipecat’ daripada semua jawatannya.
Syarikat itu turut menyatakan kekesalan mendalam kepada Siranudh atas apa yang berlaku, dan memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan dijalankan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua pegawai eksekutif syarikat, Bhurit Bhirombhakdi, yang juga sepupu kepada dua lelaki terbabit.
Bhurit turut memuat naik surat daripada Sunit yang menyatakan, dia meletakkan jawatan daripada tugasnya sebagai pekerja dan eksekutif sehingga perkara itu diperjelaskan dan dibuktikan secara muktamad.
Bagaimanapun, Sunit sebelum ini menafikan dakwaan penderaan seksual itu, namun mengakui berlaku gurauan kasar antara budak lelaki.
Keluarga Bhirombhakdi disenaraikan sebagai taikun ke-15 terkaya di Thailand oleh Forbes dengan anggaran kekayaan bersih sebanyak AS$1.75 bilion (kira-kira RM6.97 bilion).
Selain Singha Beer, kumpulan itu turut mempunyai kepentingan dalam pembuatan makanan, hotel, tenaga dan hartanah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




