Pelakon vesatile Nad Zainal tidak mengambil pusing terhadap respons segelintir netizen yang mendakwa dia tidak sesuai diberikan peranan utama dek kerana memiliki wajah awam.
Menerusi perkongsian sepotong video pendek di laman sosial miliknya, Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 34, berkata, wajah ‘awam’ yang dimilikinya itulah menjadi punca dia ditawarkan pelbagai watak.
“Bila orang kata sebagai heroin kau tak cukup lawa untuk slot yang akan ditayangkan setiap pukul 7 malam.
“Tapi disebabkan muka kau muka awam.. kau selalu dapat watak kampung, watak cacat, watak psiko.
“So, nak happy ke nak sedih? Rezeki masing-masing,” tulisnya pada kapsyen video berkenaan.
Namun, Nad bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila masih ada pihak yang menghargai bakat lakonannya sehingga kini.
“Betul, baru saya perasan. Kita semua ada peranan masing-masing. Lawa atau tidak, setiap orang ada rezeki atau tempat masing-masing ok? Sentiasa bersyukur,”katanya.
Setakat artikel ini ditulis, video berkenaan telahpun ditonton lebih 100,000 sejak ia dimuat naik pada Jumaat.