am@hmetro.com.my
Kuantan: Seramai 300 mahasiswa anak Pahang menerima peruntukan RM1,000 seorang melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia sebagai tanda kepercayaan dan harapan terhadap masa depan anak Pahang.
“Kita faham bahawa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, cabarannya bukan hanya dari segi akademik. Kos perjalanan, penginapan, kelengkapan belajar dan pelbagai keperluan lain juga perlu difikirkan.
“Sebab itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang sentiasa cuba membantu sedaya yang kita mampu. Tahun ini, sejumlah RM300,000 diperuntukkan melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, seramai 20 pelajar Program KYP – Yarmouk Jordan akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam) dan 15 pelajarakan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Pengajian Islam di Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi.
Katanya, seramai 35 pelajar berkenaan menerima sumbangan wang pendahuluan berjumlah AS$1,000 seorang.
“Insya-Allah, kejayaan anak-anak semua bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga tetapi menjadi kebanggaan seluruh Pahang.
“Semoga Allah SWT merahmati perjalanan anak-anak semua serta mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dalam menempuh cabaran, diberikan perlindungan sepanjang tempoh pengajian dan pulang dengan kejayaan cemerlang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
