AmBank dinobat Bank Terbaik Malaysia untuk Tanggungjawab Korporat

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan AmBank kekal sebagai Bank Terbaik Malaysia untuk Tanggungjawab Korporat pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2026, susulan komitmennya memperkasa komuniti, meningkatkan keterangkuman kewangan serta memacu kelestarian alam sekitar.

Pengiktirafan itu mencerminkan pendekatan kumpulan dalam mengintegrasikan tanggungjawab korporat ke dalam strategi perniagaan menerusi Yayasan AmGroup, selaras agenda kelestarian dan strategi Winning Together 2029 (WT29).

Dalam tahun kewangan lalu, kumpulan menerusi Yayasan AmGroup menyumbang lebih RM2 juta kepada pelbagai program komuniti, memberi manfaat kepada hampir 30,000 penerima menerusi lebih 150 inisiatif di seluruh negara.

Inisiatif berkenaan merangkumi pembangunan belia, keterangkuman kewangan, keusahawanan, pemuliharaan alam sekitar serta kebajikan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan matlamat Winning Together Kumpulan bukan hanya tertumpu kepada pelanggan dan pemegang saham, sebaliknya turut merangkumi komuniti.

“Pengiktirafan daripada Euromoney ini adalah satu penghormatan untuk Kumpulan AmBank dan tujuan Winning Together kami melangkaui pelanggan dan pemegang saham untuk merangkumi komuniti yang kami bantu sepanjang perjalanan.

“Pengiktirafan ini adalah milik semua AmBankers yang memacu matlamat menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi dan Pemasaran Korporat Kumpulan AmBank yang turut menyelia Yayasan AmGroup, Shazman Shahid berkata, tumpuan yayasan adalah untuk menghasilkan perubahan yang ketara menerusi inisiatif yang bermatlamat, boleh diukur dan mampan.

“Daripada memperkasakan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kepada melindungi alam sekitar, kami memberi tumpuan kepada inisiatif yang bermatlamat, boleh diukur dan mampan.

“Anugerah ini mengukuhkan bahawa tanggungjawab korporat bukanlah tambahan di AmBank, sebaliknya ia disemai dalam cara kami beroperasi dan bagaimana kami mentafsirkan kemajuan,” katanya.

Pada tahun kewangan 2026, pekerja AmBank merekodkan lebih 12,000 jam sukarelawan bagi menyokong sasaran Kumpulan mencapai 50,000 jam sukarelawan secara kumulatif menjelang tahun kewangan 2029.

Menerusi inisiatif AmCare, pekerja turut diberikan tiga hari cuti bergaji setiap tahun untuk menyertai aktiviti kebajikan dan berkaitan kelestarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top