Didenda RM60,000 ambil PATI bekerja  – Utusan Digital

ALOR GAJAH: Tiga pemilik restoran dikenakan denda keseluruhan RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI), tahun lalu.

Hakim Afizi Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Suhana Manap, 44,; Goh Seng Hui, 39, dan Goh Joon Meng, 37, yang mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, Suhana sebagai pengawal premis telah menggaji tujuh PATI yang bertentangan dengan Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63 kira-kira pukul 5.15 petang di sebuah restoran di Taman Kota Laksamana pada 1 Oktober 2020. 

Seng Hui pula didapati bersalah kerana menggaji dua lelaki PATI warga Myanmar kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah restoran di pusat beli-belah Dataran Pahlawan, Jalan Merdeka pada 7 Oktober 2020. 

Joon Meng didapati telah menggaji seorang wanita dan tiga lelaki warga Myanmar di sebuah cafe di Jalan Merdeka kira-kira pukul 1.18 petang, 11 November 2020. 

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63  dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55 E (2) akta sama. 

Sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan maksimum 12 bulan penjara, denda minimum RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Imigresen,  Md. Robi Abdullah, Norhayati Abdul Fozab dan Nor Asma Niza Mohamed Nor. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM35,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar terhadap Suhana, RM10,000 atau dua bulan penjara terhadap Seng Hui dan RM15,000 atau tiga bulan penjara kepada Joon Meng. 

Kesemua tertuduh kemudian membayar denda tersebut.  -UTUSAN ONLINE