Dikeji penyokong United, Antony kini dipuja di Betis

Dikeji penyokong United, Antony kini dipuja di Betis

London: Antony menjadi bahan ejekan penyokong Manchester United malah pemain bernilai £85.5 juta (RM482 juta) itu dilabel sebagai pembelian terburuk kelab itu dari segi nilai pelaburan.

Selepas dipinjamkan ke Real Betis pada Januari lalu, pemain Brazil itu yang dianggap gagal akhirnya membuat perpindahan tetap musim panas ini pada harga £21.7 juta (RM122 juta), iaitu £63.8 juta (RM360 juta) lebih rendah berbanding apa yang dibayar United kepada Ajax pada 2022.

Antony, antara anggota ‘Skuad Bom’ United yang terkenal, menjadi wajah kepada era perekrutan malapetaka kelab yang sering membayar lebih mahal untuk pemain sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Dia adalah seorang daripada lima pemain Liga Belanda yang dibawa masuk oleh bekas pengurus Erik ten Hag selepas kedua-duanya menjulang kejuaraan berganda bersama Ajax.

Namun, selepas bertahun-tahun melalui tempoh perit serta diejek, Antony akhirnya dipuja di kubu kuat Betis di Triana musim lalu.

Kini, bak ‘penyelamat’ yang kembali, dia menjadi figura kekal dengan wajahnya terpampang di kedai rasmi Betis di pusat bandar.

Malam ini, dia akan memburu kemenangan menentang Nottingham Forest dalam aksi pembukaan Liga Europa.

Perpindahan bernilai £21.7 juta (RM122 juta) itu turut melonjak jualan kelab dengan lebih 1,000 helai jersi terjual pada harga £89 (RM501) sehelai, selain barisan pakaian baharunya yang habis dijual, membantu Betis membiayai kos perpindahan.

Video pengumumannya memaparkan grafik animasi seekor kambing melintasi Jambatan Isabel II, dan boleh dikatakan seluruh penyokong United menghela nafas lega selepas kelab akhirnya menamatkan ikatan dengan pemain sayap itu, yang tampil cemerlang sepanjang tempoh pinjaman separuh musim lalu di Sepanyol.

Beberapa penyokong turut kelihatan mengenakan jersi Antony di jalan berbatu Seville beberapa jam sebelum seteru setempat, Sevilla, menentang Villarreal malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top