Dilamar ketika 'rompakan'

Dilamar ketika 'rompakan'

Bogota: Seorang lelaki di Colombia melakukan kelainan dan pendekatan agresif apabila melamar teman wanitanya untuk berkahwin dengan melakukan ‘prank’ rompakan bersenjata.

India Times melaporkan, dalam satu video yang sempat dirakam, lelaki itu melakukan simulasi rompakan di jalanan sebelum mengejutkan teman wanitanya dengan lamaran perkahwinan.

Insiden mengejutkan dan luar biasa itu mendapat perhatian meluas di Internet hingga membuatkan penonton terpegun dan tertarik.

Rakaman bermula dengan sebuah kereta merah berhenti di satu persimpangan dan tiba-tiba, seorang pejalan kaki dan dua individu yang menaiki motosikal menghalang laluannya.

Pasangan berada di dalam kereta itu kemudian berdepan dengan salah seorang lelaki yang mengacukan pistol disembunyikan ke arah wanita itu.

Selepas itu, dua ahli kumpulan memaksa lelaki itu melutut sambil meletakkan wanita di hadapannya.

Kekecohan itu terhenti apabila lelaki yang berlutut mengeluarkan sebentuk cincin untuk melamar teman wanitanya.

Memandangkan wanita itu sedar ia adalah gurauan, dia membalas dengan tamparan sebelum menyarungkan cincin pada jarinya.

Pasangan itu kemudian memeluk dan mencium, dengan gembira meraikan pertunangan mereka.

Tindakan berani lelaki itu mencabar norma lamaran tradisional dan menjadi sensasi tular hingga mencetuskan perdebatan mengenai cara menzahirkan cinta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top