Dilantik Anggota MAIPk: Peranan, sumbangan belia diiktiraf – Utusan Digital

IPOH: Pelantikan dua orang belia sebagai Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan itu untuk terlibat secara aktif dan berada di barisan hadapan program di bawah anjuran MAIPk.

Mereka yang menerima watikah pelantikan sebagai Anggota MAIPk daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini ialah dua belia kelahiran negeri ini iaitu Wan Mohammad Afiq Wan Arisfathillah, 23,dan Ezatul Farita Rohawi, 33.

Kedua-duanya mencatat sejarah sebagai belia pertama yang dilantik sebagai Anggoa MAIPk.

Wan Mohammad Afiq, anak kelahiran Ipoh yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar berkata, pelantikan mereka merupakan satu sejarah apabila MAIPk mengiktiraf golongan belia sebagai anggota dalam Majlis itu.

Menurutnya, ini membuktikan suara golongan belia kini semakin didengari dan ini memberikan peluang kepada golongan itu memberikan pendapat.

“Dengan penglibatan kami sebagai Anggota MAIPk, kami akan mengangkat martabat Islam dalam kalangan remaja di Perak. Peranan kami kepada golongan belia antara lain mengimarahkan masjid dan surau dengan penglibatan daripada golongan belia.

“Pelantikan ini sudah tentunya merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, Ezatul Farita yang berasal dari Bagan Datuk berkata, visinya ialah untuk melibatkan golongan belia sama ada di peringkat pengurusan dan pelaksanaan dalam program-program Majlis.

Katanya, menjadi harapannya tiada lagi jurang di antara generasi dalam pelaksanaan program-program Majlis.

“Saya mahu melihat golongan ‘senior’ dan ‘junior’ bersama-sama memainkan peranan dalam sebarang program. Selama ini golongan belia bukanlah diasingkan tetapi cuma kami tidak diberikan peluang seperti ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 14 individu menerima watikah pelantikan hakim-hakim syariah negeri daripada Sultan Nazrin.

Mereka ialah tiga Hakim Mahkamah Utara Syariah, tujuh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan masing-masing seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Ketua Pendaftar Mahkamah Utama Syariah. – UTUSAN ONLINE