Dilindungi jika ikut saluran betul – Utusan Digital

SAUDARA PENGARANG,

PERHATIAN umum kini tertumpu kepada isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang berlaku enam tahun lalu.

Pada 5 Januari lalu, Azam tampil memberi penjelasan dalam satu sidang akhbar. Ringkasnya, beliau jelaskan bahawa akaunnya diguna adiknya dan ada pihak yang cuba menyerangnya menggunakan isu tersebut.

Susulan itu, beliau mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukakan surat tuntutan (LOD) menerusi peguam terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam yang dikatakan mendedahkan isu tersebut.

C4 kemudiannya mendakwa LOD itu membuktikan peruntukan sedia ada dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tidak mencukupi untuk melindungi pemberi maklumat dan tidak memberi keyakinan kepada mereka untuk tampil.

Sekarang, tolak tepi dahulu soal isu saham Azam melanggar undang-undang atau sebaliknya dan apa niat Lalitha mendedahkan isu ini dalam dua artikel ditulisnya yang disiarkan dalam media massa. Persoalannya, benarkah Lalitha ini pemberi maklumat mengikut akta terbabit dan perlu dilindungi?

Sekiranya seseorang mendedahkan sebarang kelakuan tidak wajar melibatkan mana-mana individu kepada agensi bukan penguat kuasa, maka perlindungan tidak diberikan.

Maksudnya, jelas pemberi maklumat ini adalah yang memberi maklumat kepada agensi penguat kuasa sahaja bukan selain daripada itu.

Agensi penguat kuasa ini ialah mana-mana kementerian, jabatan atau agensi di peringkat Persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada.

Sebagai contoh, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Akibat pendedahan tidak mengikut saluran dan undang-undang yang betul, maka berlakulah pelbagai implikasi negatif yang amat membimbangkan.

Lihatlah ketika ini, imej SPRM tercalar teruk dan rakyat menjadi kurang yakin terhadap agensi tersebut sedangkan ia lebih kepada isu peribadi Ketua Pesuruhjayanya. Malah, Lalitha juga ketika ini terdedah untuk disaman.

Selain itu, orang ramai mula membuat andaian masing-masing dan kes ini diadili di media sosial. Bukan tidak adil pada Azam sahaja, tapi tidak adil kepada SPRM malah Lalitha juga.

Kesan-kesan inilah sepatutnya boleh dielak daripada berlaku jika maklumat disalur mengikut peraturannya. Janganlah salahkan undang-undang kononnya menyekat usaha pemberi maklumat yang berkesan.

Selagi undang-undang tidak dipinda, maka perlulah mengguna pakai undang-undang sedia ada. Tidak masuk akal bila kita langgar undang-undang yang sedang berkuat kuasa dengan alasan ia tidak betul dan perlu dipinda.

Soal pinda untuk penambahbaikan akta boleh dilakukan dengan cara dan kaedah lain iaitu menerusi Parlimen, bukan boleh terus langgar sahaja.

ANUAR MANAN, Shah Alam, Selangor.