Dino makan tujuh biji durian sebelum kena 'stroke'

Dino makan tujuh biji durian sebelum kena 'stroke'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat memakan tujuh biji durian, anggota kumpulan Nico G iaitu Dino, 50, mendakwa ia kemungkinan menjadi punca dia diserang angin ahmar atau stroke awal Julai lalu.

Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli berkata, dia hanya mampu tabah menghadapi ujian stroke yang dialami pada bahagian kanan badannya ketika ini kerana ia sudah pun berlaku.

“Sebelum kena stroke kira-kira sebulan lalu, saya sebenarnya ada makan tujuh biji durian seorang diri dalam tempoh sehari saja.

“Esoknya, ketika bekerja saya rebah tiba-tiba. Saya memang gemar makan durian dan setiap kali ada musim (durian) saya mesti akan beli dan makan.

“Jadi, bila sudah diserang stroke, saya tidak menolak kemungkinan ia barang kali ada kena-mengena dengan faktor pemakanan saya sendiri.

“Saya pun suka makan benda-benda manis juga. Malah, selepas dibawa berjumpa doktor, masa bercakap pun, mulut saya masih lagi berbau durian,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Menurut Dino, mungkin bukan sekadar makan durian saja, tetapi dia juga adalah perokok tegar sejak muda yang didakwanya turut menjadi faktor terhadap masalah kesihatan dialaminya ini.

Terdahulu, Dino menerima kunjungan daripada Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Pengerusi

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi di rumahnya di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu juga, Dino didapati menerima sumbangan berupa wang tunai daripada FINAS dan bakul makanan oleh Kementerian Komunikasi.

Masih hidup membujang, Dino memaklumkan dia kini menetap bersama keluarga ibu dan bapa saudaranya dan pada masa sama mengakui berhadapan masalah kewangan.

“Sejak sakit stroke sebulan lalu, saya juga tidak bekerja lagi dan tidak dinafikan memang menghadapi masalah kewangan. Pada ketika ini, saya harus berehat.

“Saya pun hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah. Tapi, buat masa ini majikan beri saya cuti sehingga benar-benar pulih dan boleh bekerja semula.

“Pihak majikan juga tidak lepas tangan dan ada menghulurkan sumbangan RM500. Cuma, sekarang ini saya memang tiada pendapatan langsung dan sebab itu saya minta bantuan,” katanya.

Dino memberitahu dia memerlukan bantuan kewangan segera untuk digunakan bagi menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua minggu sekali.

Menurutnya lagi, dia juga mengambil inisiatif berubat secara tradisional yang memerlukan perbelanjaan sekitar RM200 untuk setiap sesi urutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top