harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Syarikat Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen organisasi itu dalam mempertahankan prinsip amanah dan membanteras rasuah.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, barisan kepimpinan perlu memainkan peranan dengan menunjukkan teladan sebagai pencetus budaya kerja berintegriti dan pemangkin kepada tadbir urus berkesan.
“Integriti tidak boleh dilihat sekadar slogan organisasi atau retorik pentadbiran semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan konsisten dan keberanian mempertahankan prinsip amanah di semua peringkat organisasi.
“Lafaz IBR harus menjadi manifestasi iltizam berterusan dalam menolak sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam organisasi,” katanya pada Majlis IBR PNMB di ibu pejabat syarikat itu di sini, hari ini.
Menunjukkan, sebagai sebuah syarikat strategik negara PNMB harus memperkukuhkan aspek tatakelola dan kawalan dalaman lebih-lebih lagi mereka terbabit mengendalikan dokumen keselamatan.
Katanya, kepentingan awam itu mendedahkan PNMB kepada risiko rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan sekiranya aspek kawalan dalaman serta tata kelola tidak diperkukuhkan secara menyeluruh.
Majlis yang bertemakan “Strengthening Integrity for Sustainable Governance” itu menyaksikan sesi lafaz dan pemeteraian IBR diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNMB, Radzifuddin Nordin sambil disaksikan oleh Mohamad Zakkuan.
Turut diadakan sesi perkongsian bertajuk “Integriti: Bukan Retorik Bicara Tetapi Paksi Tindakan” yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur, Zairinhani Zulkifly.
Hadir sama, Penasihat Keselamatan, Tradewinds Group Malaysia Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pegawai Tadbir Urus dan Siasatan Kumpulan PNMB, Datuk Abdul Jamil Johari; Pengerusi PNMB, Datuk Pkhairuddin Omar dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kuala Lumpur, Noor Azeana Azis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




