Kota Belud: Lelaki berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara 29 bulan selepas didapati bersalah menetak kucing milik jirannya di Kampung Timbang Dayang, di sini, pada Julai 2020.
Tertuduh, Jaferi Suman dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Lovely Natasha Charles, hari ini, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut keterangan kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 3 Julai lalu kira-kira jam 3 petang di hadapan anak-anak pengadu yang juga pemilik kucing berkenaan.
Berikutan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis pada keesokan harinya, jam 3.35 petang dan tertuduh ditahan pada 5 Julai.
Kejadian itu turut menyebabkan dua anak pengadu trauma selepas melihat sendiri tertuduh yang juga jiran mereka membunuh kucing terbabit menggunakan parang.
Mengikut keterangan kes, siasatan mendapati tertuduh seorang penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Terdahulu dalam rayuannya, Jaferi meminta supaya hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan reman iaitu pada 5 Julai lalu dan Lovely kemudian membenarkan rayuan tertuduh.
Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Mohd U’kasyah Hashim.




