'Disebabkan ini jalan saya pilih, saya yang kena pandai bahagikan masa'

'Disebabkan ini jalan saya pilih, saya yang kena pandai bahagikan masa'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesibukan tugas hakiki sebagai pegawai tentera tidak pernah dijadikan alasan untuk Kapten Muhammad Rasul Zahiri aktif bersukan dengan turut serta dalam acara larian denai, duathlon dan cabaran Ironman.

Lebih mengagumkan, pelbagai kejayaan pernah dikecapinya dan terbaru, Muhammad Rasul, 33, akan mewakili pasukan kebangsaan dalam Southeast Asia Trail Running Cup (SEATRC) 2026 di Jakarta Open Trail Run (JOTR) yang akan diadakan bermula 23 hingga 27 Julai depan dekat Cibodas Botanical Garden, Jawa Barat, Indonesia.

Menyingkap kisahnya, Muhammad Rasul dari Dengkil, Selangor berkata, beliau seorang yang aktif bersukan malah pernah bergelar jurulatih kecergasan satu ketika dulu.

Lantaran itu, dunia sukan sudah sebati dengan diri Muhammad Rasul dan sukar meninggalkannya walaupun kini menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Staf 3 Lembaga Sukan Tentera Darat di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat dekat Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Sejak awal lagi, saya sudah terapkan disiplin dengan latih diri untuk bangun tidur seawal jam 4.30 pagi untuk berlatih kemudian bersiap untuk memulakan tugas.

“Ada juga latihan pada waktu petang dan malam bergantung pada penugasan semasa. Disebabkan ini jalan saya pilih, saya yang kena pandai bahagikan masa supaya aktiviti sukan disertai tak mengganggu atau menjejaskan kualiti kerja.

“Setakat ini tiada masalah kerana rutin tugasan masih dilaksanakan seperti biasa…saya pun dapat sokongan kuat daripada isteri, Bibi Nor Hafizah Subari, 33, juga keluarga malah mereka juga faktor kejayaan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Rasul berkata, sebelum ini, beliau pernah merangkul pingat perak acara mendayung dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 selain mewakili negara di Sukan Sea Myanmar pada tahun sama.

Justeru, Muhammad Rasul berkata, pembabitannya dalam larian denai, duathlon dan Ironman adalah kesinambungan serta caranya untuk mengasah lagi potensi diri menerusi cabang sukan berbeza.

“Acara atau kategori sukan mungkin berbeza tapi persamaannya adalah aspek disiplin yang perlu dititik beratkan.

“Sebagai pegawai tentera, saya tiada masalah untuk menjaga disiplin kerana itu yang kita tekankan dalam rutin harian.

“Syukur kerana minat dan usaha saya menampakkan hasil apabila meraih beberapa pencapaian antaranya tempat kedua dalam Ironman 70.3 Langkawi 2017, kedudukan keempat untuk Perak Duathlon 2025 dan juara lelaki terbuka Hulu Selangor Adventure Challenge 2025.

“Pencapaian lain adalah mendapat tempat keempat dalam Merapoh Rainforest Trail 2025 kategori lelaki terbuka 30 kilometer (km), tempat keempat lelaki terbuka (Hari Sukan Negara Half Marathon 2025 Putrajaya), juara lelaki terbuka 30 km (Selama Ultra Trail 2026), juara lelaki terbuka (Silabur Ultra Trail 2026) dan tempat kedua lelaki terbuka 10 km dalam Muallim Cross Country Run 2026,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Dalam Komunikasi dan Media Baharu lulusan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, Muhammad Rasul berkata, dia juga bersyukur kerana pernah melakar beberapa kejayaan yang dianggap sebagai kenangan manis sepanjang dalam ATM.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, antara pencapaian itu termasuk Anugerah Kecemerlangan Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Anugerah Kecemerlangan Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta penuntut Terbaik Kursus Operasi Hutan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dekat Ulu Tiram, Johor.

“Syukur dengan pencapaian itu dan bagi saya, ia bukti pembabitan dalam sukan tidak mengganggu prestasi kerja.

“Perjalanan saya masih jauh dan sebenarnya, banyak lagi impian belum tercapai sama ada dalam sukan mahupun kerjaya.

“Saya akan berusaha keras dan antara sasaran tahun ini adalah melayakkan diri ke dalam kejohanan dunia larian denai,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Staf 3 Gerak, Markas 8 Briged dan Pegawai Staf 3 Latih, Bahagian Operasi dan Latihan Markas Tentera Darat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top