Paris: Novak Djokovic memberi bayangan bahawa dia mungkin sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Roland Garros selepas tewas kepada Jannik Sinner dalam separuh akhir pada Jumaat.
Selepas kekalahan 4-6, 5-7, 6-7 (3/7) kepada pemain nombor satu dunia itu, Djokovic berhenti seketika dalam perjalanan meninggalkan Gelanggang Philippe Chatrier dan meluangkan masa untuk “menzahirkan rasa terima kasih” kepada penonton di Paris.
“Ini mungkin perlawanan terakhir saya di sini, jadi saya tidak pasti. Sebab itulah saya sedikit lebih emosional pada penghujungnya,” kata Djokovic yang juga juara tiga kali Roland Garros.
“Tetapi jika ini adalah perlawanan perpisahan saya di Roland Garros dalam kerjaya saya, ia adalah perlawanan yang indah dari segi suasana dan apa yang saya terima daripada penonton.
“Bukan saya gembira dengan kekalahan ini, tetapi saya cuba menunjukkan rasa terima kasih kepada penonton, kerana mereka benar-benar hebat,” katanya.
Djokovic yang sebelum ini pernah mengalami hubungan tegang dengan penyokong Paris, memuji sokongan yang diterimanya ketika menentang Sinner.
“Saya rasa saya tidak pernah menerima sokongan sebanyak ini dalam stadium ini sepanjang kerjaya saya dalam perlawanan besar menentang pemain terbaik dunia. Jadi saya amat berbesar hati dapat merasainya,” tambahnya.
Namun, pemain Serbia itu menafikan khabar angin bahawa dia akan segera menggantung raket.
Dia masih berada di ambang sejarah walaupun percubaan terbarunya untuk memburu gelaran Grand Slam ke-25 yang bakal memecahkan rekod tidak kesampaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




