Paris: Novak Djokovic meneruskan kemaraannya ke separuh akhir dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam ke-25 dalam usahanya mencipta rekod baharu apabila menewaskan Alexander Zverev dalam perlawanan suku akhir yang sengit di Roland Garros, semalam.
Pemain berusia 38 tahun itu menundukkan pilihan ketiga, Zverev, 4-6, 6-3, 6-2, 6-4 dalam aksi yang mendebarkan di gelanggang Court Philippe Chatrier selama tiga setegah jam.
Pilihan keenam, Djokovic, akan berdepan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner di separuh akhir, selepas pemain dari Itali itu menyingkirkan Alexander Bublik yang tidak disenaraikan sebagai pilihan, dalam straight set.
“Perlawanan seperti ini adalah antara sebab saya masih bermain dan saya sukakan persaingan,” kata Djokovic.
Di gelanggang utama, naib juara tahun lalu, Zverev bermula garang apabila mematahkan servis Djokovic seawal permainan pertama.
Permainan itu menjadi pemisah set apabila satu-satunya mata break yang berjaya dicipta sepanjang set itu berjaya diselamatkan Zverev ketika dia menamatkan set pertama dengan kemenangan.
Ia adalah kali pertama bekas pemain nombor satu dunia itu tewas satu set dalam kejohanan Terbuka Perancis tahun ini.
Namun, juara 24 kali kejohanan utama itu tidak membiarkan kekalahan itu melemahkan semangatnya.
Sementara itu Sinner menempah penampilan separuh akhir kedua berturut-turut di Roland Garros selepas mencatat kemenangan bergaya straight set ke atas pemain Kazakhstan, Bublik.
Pemain nombor satu dunia itu mudah mara dalam aksi suku akhir dengan kemenangan 6-1, 7-5, 6-0 dalam tempoh satu jam 49 minit di gelanggang Court Philippe Chatrier, dan masih belum tewas sebarang set dalam kejohanan Terbuka Perancis tahun ini.
“(Djokovic) menunjukkan dalam tempoh kebelakangan ini bahawa dia kembali ke tahap terbaik.
“Dia bermain dengan sangat, sangat baik. Jadi, perlawanan itu nanti juga akan menjadi sangat taktikal, tetapi sangat sukar. Dia pemain yang sangat berpengalaman, 24 kejuaraan Grand Slam. Saya rasa itu sudah cukup untuk menjelaskan segalanya,” kata Sinner mengenai lawannya di separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd