Doktor berkelakuan tidak senonoh, JKNPP tunggu siasatan polis

Doktor berkelakuan tidak senonoh, JKNPP tunggu siasatan polis

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes doktor pakar didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa pesakit wanita.

Pengarah JKNPP Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya setakat ini masih belum dimaklumkan sama ada pegawai perubatan berkenaan telah dibebaskan selepas ditahan reman semula, baru-baru ini.

“Memandangkan ia masih dalam siasatan polis maka (berhubung penggantungan tugas atau direhatkan), kita tunggu dulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Bagaimanapun kita akan beri kerjasama kepada pihak polis dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Mesra bersama Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen di Bazar Ramadan Batu Kawan, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital, di sini pada 9.30 malam 26 Februari lalu selepas menerima maklumat mengenai kelakuan tidak senonoh dilakukannya.

Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu. Bagaimanapun, dia ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023.

Dalam perkembangan lain, Dr Fazilah berkata, selain soal keselamatan makanan, pihaknya turut mempergiatkan program nafas baharu sempena Ramadan menerusi trak ‘WoW’.

Katanya, ia berkaitan tabiat merokok yang diharap dapat mendorong perokok memanfaatkan Ramadan untuk berhenti merokok.

“Saya harap segala penerangan yang diberikan dalam trak Wow ini dapat dimanfaatkan dan bagaimana seorang perokok itu boleh berhenti merokok dalam bulan Ramadan,” katanya.

Polis terima satu lagi laporan terhadap doktor dikatakan berkelakuan tidak senonoh

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top