Doktor gigi perlu kemahiran tangani ketakutan pesakit

surayaroslan@mediaprima.com.my

TENANG, santai dan tidak banyak bicara, namun cukup teliti apabila berdepan pesakit.

Begitulah personaliti Mohd Farid Shuhaimi, 34, yang sudah sembilan tahun bergelar doktor gigi.

Di sebalik sikapnya yang disifatkan rakan sekerja sebagai ‘chill’, beliau seorang yang cukup sabar dan mementingkan hasil terbaik dalam setiap rawatan dilakukan.

Menariknya, kerjaya itu bukanlah impian asal bapa tiga anak itu.

Akuinya, ketika di bangku sekolah, dia lebih membayangkan dirinya sebagai jurutera kerana tertarik dengan kerja yang memerlukan kemahiran tangan dan bersifat praktikal.

Namun, satu demi satu perancangan berubah sebelum akhirnya dia menemukan dirinya dalam dunia pergigian.

Hari ini, Mohd Farid bukan sahaja selesa dengan pilihan itu, malah melihat kerjayanya sebagai gabungan tiga perkara yang dekat dengan dirinya iaitu perubatan, kemahiran teknikal dan seni.

Malah, dia mempunyai cara tersendiri menggambarkan profesionnya dengan gurauan ringkas, ‘DENTIST: D=Doctor, EN=Engineer, TIST=Artist’.

“Saya bukan seorang yang ‘outspoken’ tetapi bukan juga seorang yang pemalu. Ramai orang di sekeliling dan rakan sekerja menyifatkan saya sebagai seorang yang chill atau santai.

“Tetapi saya juga boleh jadi tegas pada masa tertentu,” katanya.

Katanya, sifat sabar dan teliti yang dimilikinya pula bukan sesuatu yang baru terbentuk selepas bergelar doktor gigi.

“Saya memang seorang yang penyabar dan teliti sejak dahulu, malah sifat itu ada kalanya membuatkan sesuatu rawatan mengambil masa lebih lama.

“Ada kalanya pesakit maklumkan yang saya buat rawatan lama sangat. Tetapi saya selalu beritahu mereka, saya cuma mahu yang terbaik untuk mereka. Biar lambat, asalkan pesakit berpuas hati,” katanya.

Menurutnya, ketelitian bukan sekadar sebahagian daripada tugas sebagai doktor gigi, sebaliknya ia mencerminkan tanggungjawab terhadap pesakit yang berkenaan kesihatan gigi mereka.

Akuinya, perjalanan kerjayanya itu sebenarnya agak berliku.

“Ketika sekolah menengah, cita-cita saya adalah untuk menjadi jurutera atau menceburi bidang berkaitan kerana gemar melakukan sesuatu secara ‘hands-on’.

“Bagaimanapun, ibu bapa saya melihat potensi berbeza dalam diri dan berpendapat bidang perubatan lebih sesuai.

“Atas saranan mereka, saya mengambil aliran sains biologi sebelum menyambung pengajian ke matrikulasi dalam aliran sains selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Menurutnya, keinginan mengejar cita-cita asal membuatkan dia mengambil keputusan untuk menukar aliran kepada kejuruteraan ketika minggu orientasi tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Malangnya, selepas beberapa bulan, saya menyedari diri tidak mampu bertahan dalam bidang berkenaan dan terpaksa berhenti,” katanya.

Mohd Farid berkata, tidak lama kemudian, dia mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan ketika itu, pergigian bukanlah bidang yang pernah menjadi pilihannya.

“Saya tak terfikir langsung mengenai pergigian. Sebelum itu, saya hanya tahu bidang perubatan lebih kepada menjadi doktor perubatan.

“Apabila mula belajar pergigian, saya mula minat kerana bidang ini lebih banyak membabitkan kemahiran tangan dan kerja secara praktikal.

“Selepas habis belajar, barulah saya sedar ibu bapa sebenarnya betul dan mereka sudah lama nampak potensi saya,” katanya.

Akuinya, kini, selepas sembilan tahun dalam bidang itu, Mohd Farid menganggap pergigian sebagai kerjaya yang akhirnya menemukan minat dan kebolehannya pada satu titik.

“Bukan sekadar ilmu perubatan, saya juga dapat melakukan kerja yang memerlukan ketelitian tangan dan sentuhan kreatif.

“Namun, menjadi doktor gigi turut bermakna berdepan dengan pesakit yang takut atau cemas setiap kali berada di kerusi rawatan,” katanya.

Bagi Mohd Farid, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memahami punca ketakutan itu.

Menurutnya, kebanyakan pesakit yang takut berjumpa doktor gigi mungkin kerana mereka jarang mendapatkan pemeriksaan atau rawatan pergigian sebelum ini.

“Tak kenal maka tak cinta, saya akan bercakap dengan lebih santai, macam berborak dengan kawan dan tidak terlalu teknikal.

“Saya juga akan memperkenalkan rawatan yang lebih mudah terlebih dahulu supaya mereka dapat pengalaman yang baik dan lebih yakin,” katanya.

Katanya, membina kepercayaan dengan pesakit sama pentingnya dengan melakukan rawatan.

“Antara pengalaman yang paling memberi kesan kepada saya berlaku ketika saya baru sahaja menyertai sebuah klinik swasta.

“Ketika itu, seorang pesakit kanak-kanak datang selepas giginya tercabut dan memerlukan rawatan segera.

“Namun, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak mampu menanggung kos rawatan,” katanya.

Mohd Farid berkata, melihat keadaan itu, dia mengambil keputusan memberikan rawatan dengan diskaun yang besar.

“Saya buat dengan ikhlas. Niat saya cuma mahu membantu anak mereka.

“Selepas hari itu, Alhamdulillah, klinik sentiasa ada pesakit yang datang dan tidak putus,” katanya.

Katanya, pengalaman berkenaan semakin mengukuhkan keyakinannya terhadap satu prinsip yang dipegang sejak dahulu iaitu keikhlasan.

“Prinsip hidup yang saya pegang adalah ikhlas dalam membuat segala perkara.

“Walaupun kita tidak suka atau keberatan, sekiranya perkara itu baik, pasti ada hikmahnya. Lambat atau cepat, saya serahkan kepada Allah,” katanya.

Katanya, di luar klinik pula, Mohd Farid lebih banyak masa bersama keluarga.

Suami kepada Ain Natasya Zulkhanine itu berkata, masa bersama keluarga menjadi perkara paling berharga.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Helena Sofea, Alana Azzahra dan Isaac Mateen.

“Di luar klinik, saya lebih suka duduk di rumah bersama keluarga dan menghabiskan masa bersama mereka.

“Biasanya isteri saya yang akan merancang aktiviti bersama keluarga,” katanya yang juga lebih aktif bersukan terutama bola sepak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top