'Doktor palsu' guna gam kuku pasang venir

'Doktor palsu' guna gam kuku pasang venir

Pinellas County, Florida: Seorang wanita Florida ditahan selepas menjalankan kerja pergigian tanpa lesen selain didakwa menggunakan gam kuku pada gigi seorang pelanggan yang tidak menyedarinya, lapor USA Today.

Emely Martinez, 35, dari Pinellas County ditahan pada 20 Ogos lalu selepas beberapa mangsa memfailkan aduan kepada polis Pinellas Park dengan mendakwa mereka mengalami kesakitan, jangkitan dan komplikasi selepas mendapatkan rawatan venir daripadanya, menurut rekod tangkapan yang diperoleh USA TODAY.

Dokumen mahkamah menyatakan beberapa mangsa terpaksa menjalani prosedur pergigian kecemasan dan pembedahan selepas menerima perkhidmatannya.

Beberapa pelanggan memberitahu polis bahawa mereka tidak menyedari Martinez yang beroperasi dari Tapp Inn Beauty Bar, tidak dilesenkan dengan sewajarnya untuk melakukan kerja pergigian.

Martinez yang mengiklankan dirinya secara dalam talian sebagai “Itsthe Veneerlady,” menawarkan perkhidmatan venir atau pemasangan lapisan buatan khas yang dipasang pada gigi pada harga jauh lebih murah berbanding klinik pergigian profesional.

Ketika rawatan venir biasanya berharga antara AS$800 (kira-kira RM3,380) hingga AS$1,800 (kira-kira RM7,600) untuk sebatang gigi, Martinez mengiklankan perkhidmatan untuk keseluruhan mulut pada harga AS$3,000 (kira-kira RM12,700) dan mengenakan bayaran hanya AS$2,500 (kira-kira RM10,500) kepada seorang pelanggan.

Aduan polis mendakwa Martinez mengambil ribuan dolar daripada pelanggan dan kemudian sama ada mengabaikan mereka apabila dihubungi mengenai komplikasi atau dalam satu kes, memberitahu seorang mangsa bahawa dia “tidak peduli jika lesen diperlukan” apabila ditanya mengenai kekurangan kelayakannya.

Dalam satu kes, seorang doktor gigi berlesen memberitahu polis bahawa mereka percaya gam kuku digunakan untuk melekatkan venir pada gigi mangsa.

Di Facebook, Martinez mengiklankan beberapa perkhidmatan termasuk pemutihan gigi, penggantian gigi, pengisi bibir ‘tanpa pembedahan’, dan dalam satu hantaran ‘kembali ke sekolah’, perkhidmatan pemutihan untuk kanak-kanak yang mana semua perkhidmatan ini memerlukan pendidikan, latihan, dan lesen di Florida.

Martinez sudah didakwa atas kesalahan penipuan dan menjalankan amalan pergigian tanpa lesen aktif, kedua-duanya adalah jenayah berat.

Dia sebelum ini pernah ditahan di Hillsborough County atas tuduhan serupa iaitu kerja pergigian tanpa lesen dan polis percaya dia menukar namanya serta nama perniagaannya untuk terus beroperasi di beberapa kawasan.

Di laman Facebook “Veneerlady”, hantaran menyebut beberapa lokasi yang beroperasi di bawah nama perniagaan itu dengan beberapa pekerja termasuk di Tampa, Orlando, dan Clearwater.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top