Dooley jurulatih baru Sri Pahang FC

Kuantan: Skuad Sri Pahang FC sah mendapatkan khidmat jurulatih import bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Ia disebabkan jurulatih kelahiran Jerman, Thomas Dooley yang menjadi sebutan bakal membimbing Sri Pahang sudahpun berada di Kuantan.

Dooley yang pernah mengendali pasukan Filipina serta pernah menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 2011 hingga 2012 berjaya menarik minat pengurusan Sri Pahang meskipun ada beberapa nama lain disenaraikan termasuk jurulatih tempatan.

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dooley yang pernah bermain dengan kelab Jerman, Bayer Leverkusen bakal memulakan tugasnya bersama Sri Pahang Fc pada Isnin ini.

“Memang benar Dooley berada di negara ini terutama di Kuantan dan dijangka bertemu pegawai PBNP, barisan kejurulatihan dan pemain esok. Isnin ini, beliau (Dooley) akan memulakan tugas pertamanya selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC”, kata sumber itu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul bahawa Sri Pahang bakal mendapatkan khidmat jurulatih import untuk menghadapi kancah Liga M terutamanya cabaran Liga Super.

Sebagai rekod, pengendali import terakhir Pahang ialah Ronald Smith iaitu pada 2014.

Bagaimanapun, Smith cuma mengendali Pahang selama empat bulan sahaja sebelum diambil alih oleh Zainal Abidin Hassan.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top