Korban nahas udara meningkat sepanjang tahun 2020

Washington: Angka korban akibat kemalangan pesawat komersial meningkat kepada 299 orang di seluruh dunia sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut firma konsultan Belanda To70, jumlah kemalangan membabitkan pesawat itu menurun lebih 50 peratus dalam tempoh sama.
Menurut statistik firma terbabit, sebanyak 40 kemalangan udara membabitkan pesawat penumpang komersial berlaku tahun lalu dengan lima daripadanya mengorbankan nyawa, menyebabkan 299 individu terbunuh.
Berbanding 2019, sebanyak 86 kemalangan udara dilaporkan dengan lapan daripadanya mengorbankan nyawa, sekali gus menyebabkan 257 terbunuh.
Menurut To70, pesawat komersial besar menyebabkan 0.27 kemalangan maut perjuta penerbangan pada tahun lalu, atau satu kemalangan maut daripada 3.7 juta penerbangan iaitu meningkat daripada 0.18 kemalangan maut perjuta penerbangan pada 2019.
Bagaimanapun jumlah kemalangan membabitkan pesawat itu menurun dengan mendadak disebabkan pandemik COVID-19 yang mana Flightradar24 melaporkan jumlah penerbangan pesawat komersial mengalami pengurangan sebanyak 42 peratus kepada 24.4 juta di seluruh dunia tahun lalu.
Menurut kajian To70, hampir separuh daripada jumlah korban membabitkan 176 mangsa yang terbunuh apabila pesawat Ukraine ditembak jatuh di ruang udara Iran pada Januari tahun lalu.
Baki jumlah korban pula membabitkan insiden pesawat Pakistan yang terhempas pada Mei tahun lalu, mengakibatkan 98 orang terbunuh.
Sejak dua dekad lalu, jumlah kematian akibat kemalangan udara mencatatkan penurunan mendadak.
Menurut Rangkaian Keselamatan Udara (ASN), pada 2005, sebanyak 1,015 kematian direkodkan membabitkan pesawat penumpang komersial di seluruh dunia.
Namun sejak lima tahun lalu, secara purata terdapat 14 kemalangan maut membabitkan pesawat penumpang komersial dan kargo yang mengakibatkan 345 kematian. – AGENSI

 

Malay News

International Desk