am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak saudara lelaki, 19 April lalu.
Tertuduh, masing-masing bekerja sebagai kelindan lori, 31, dan guru tadika, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak lelaki, 10, dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Machang, 10 malam pada 19 April 2026.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhd Zulfaqar Saharrudin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri dua bulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Difahamkan mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sehingga Jun ini sebelum diserahkan kepada neneknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




