Penyelam tentera Maldives maut ketika operasi cari mayat pelancong Itali

Penyelam tentera Maldives maut ketika operasi cari mayat pelancong Itali

Hyderabad: Maldives diselubungi kesedihan selepas seorang penyelam tentera terkorban pada Sabtu ketika menjalankan operasi mencari mayat pelancong Itali yang maut di dalam sebuah gua bawah air semasa aktiviti selam skuba pada Khamis.

Mohamed Mahudhee, 44, seorang staf sarjan Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), mengalami masalah kesihatan semasa operasi pencarian berisiko tinggi di bawah air sebelum meninggal dunia di hospital, menurut laporan media Maldives dan pegawai tempatan.

Mahudhee, yang dipercayai mengalami penyakit dekompresi, merupakan seorang daripada lapan penyelam yang menyertai operasi pencarian itu pada Sabtu.

Pihak berkuasa Maldives menggantung operasi berkenaan susulan kematiannya.

Pemergian anggota tentera itu mencetuskan kesedihan yang meluas, dengan ramai memberikan penghormatan terhadap keberanian dan pengorbanannya.

Presiden Mohamed Muizzu menyifatkan kematian itu sebagai sesuatu yang memilukan dan mengejutkan, sambil berkata tragedi berkenaan amat dirasai oleh seluruh rakyat Maldives.

Presiden turut menghadiri majlis pengebumian Mahudhee pada Sabtu malam.

Naib Presiden Hussain Mohamed Latheef dan Speaker Parlimen Abdul Raheem Abdulla turut menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penyelam berkenaan.

Menteri Luar Maldives Iruthisham Adam pada Sabtu bertemu Duta Besar Itali ke Maldives, Damiano Francovigh yang berpangkalan di Colombo, bagi membincangkan operasi pencarian warga Itali yang masih hilang.

Duta itu turut menyampaikan ucapan takziah Itali atas kematian penyelam MNDF berkenaan.

Kedutaan Arab Saudi di Maldives turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Maldives, MNDF dan keluarga staf sarjan itu.

“Keberanian dan pengorbanannya akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan rasa hormat. Semoga Allah mengurniakan rahmat kepadanya, menerima beliau dalam kalangan para syuhada dan mengurniakan kesabaran serta kekuatan kepada keluarganya,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X.

Lima pelancong Itali maut pada 14 Mei lepas ketika meneroka sebuah gua pada kedalaman 50 meter di Vaavu Atoll, sedangkan peraturan Maldives mengehadkan aktiviti selaman rekreasi kepada kedalaman maksimum 30 meter.

Kumpulan itu termasuk seorang pengajar selam yang mayatnya telah ditemukan. Kementerian Pelancongan Maldives membatalkan lesen kapal pelancong “MV Duke of York” yang digunakan warga Itali itu untuk ke Vaavu Atoll.

“Semua tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan akauntabiliti penuh, dan perniagaan pelancongan serta penyedia perkhidmatan akan terus dikehendaki mematuhi piawaian yang ditetapkan,” menurut kenyataan bersama Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam pada Sabtu.

Penyelam tentera Maldives ketika ini dilatih untuk menyelam sehingga kedalaman 50 meter sahaja, namun kemahiran mereka sedang dipertingkatkan bagi membolehkan mereka mencapai kedalaman sehingga 100 meter, kata Brigedier Jeneral Mohamed Saleem kepada penyiar milik kerajaan PSM News.

“Fasa kedua latihan operasi ini dijadualkan bermula bulan ini. Kami sedang giat berusaha memastikan anggota yang diperlukan menerima latihan sepenuhnya sebelum penghujung tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top