Dortmund: Borussia Dortmund akan melayan baki lima aksi Bundesliga seperti perlawanan akhir dalam usaha mereka menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas, kata pemain tengah, Pascal Gross menjelang aksi menentang Borussia Moenchengladbach esok.
Dortmund kini di tangga kelapan dengan 42 mata selepas 29 perlawanan — kedudukan terburuk sejak musim 2014-15.
Mereka ketinggalan enam mata di belakang RB Leipzig yang menghuni tangga keempat, dengan hanya lima aksi liga berbaki.
Keyakinan skuad Die Schwarzgelben untuk meraih tiket ke Eropah kembali menyala selepas kemenangan 3-1 ke atas Barcelona di laman sendiri dalam aksi Liga Juara-Juara, biarpun tersingkir secara agregat 3-5.
“Dalam stadium ini, dengan sokongan penyokong, kami boleh kalahkan mana-mana pasukan di dunia. Kalau tak dapat tempat Eropah, ia memang perit,” kata Gross.
“Sebab itu kami kena berikan segala-galanya. Musim ini memang gila, kami sudah kalah terlalu banyak, tapi tengok saja kedudukan liga — semuanya masih mungkin. Lima perlawanan terakhir ini semuanya final.”
Pemain berusia 33 tahun itu turut menekankan peningkatan dari segi persefahaman pasukan.
“Saya rasa kami lebih kukuh sekarang. Kalau seorang buat silap, yang lain bantu tutup ruang. Itu buatkan kami lebih yakin dengan apa yang kami lakukan.”
Sementara itu, pengendali Dortmund, Nico Kovac menuntut anak buahnya tampil lebih bersemangat dan agresif menjelang aksi penting itu. Kapten Emre Can dan pemain tengah Carney Chukwuemeka yang terlepas aksi bertemu Barca akibat kecederaan, kini kembali dalam pertimbangan untuk diturunkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




