Ipoh: Polis menemukan sebanyak 20.2 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM1.01 juta di dalam guni di kawasan pantai Pasir Bogak dekat Pulau Pangkor, malam tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata dadah itu ditemukan pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan Balai Polis Pangkor pada kira-kira 9 malam susulan maklumat awam.
“Pemeriksaan ke atas guni itu menemukan 20 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis ketamin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menerusi talian 012-2087222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




