Double R Business peruntuk RM50,000 bantu mangsa banjir di Pahang

Double R Business peruntuk RM50,000 bantu mangsa banjir di Pahang

KUANTAN: Sebanyak RM50,000 diperuntukkan syarikat swsta, Double R Business Sdn. Bhd. (DRB) bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas banjir di negeri ini.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB, Datuk Mohd. Razif Abd. Razak berkata, bantuan itu bakal diserahkan kepada beberapa badan kebajikan terpilih di negeri ini untuk diagihkan kepada keluarga terlibat.

“Unit perniagaan DRB telah bersatu dengan badan kebajikan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.

“Bantuan yang disalurkan berupa makanan, barangan keperluan termasuk tilam, selimut, keperluan bayi, lampin pakai buang untuk orang dewasa, barangan isi rumah dan air mineral botol,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad, di sini.

Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 76 mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit.

Tengku Hassanal berkenan meluangkan masa sekitar 30 minit menyantuni mangsa di pusat pemindahan tersebut.

Mohd. Razif berkata, sebagai sebuah syarikat yang prihatin dengan kebajikan rakyat, adalah penting bagi DRB menghulurkan sumbangan supaya dapat bersama-sama mangsa mengatasi tempoh mencabar ini.

“DRB juga ingin memanjangkan solidariti kepada rakyat Pahang berikutan banjir berlaku menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan sosio ekonomi kepada mangsa terlibat.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan dan masyarakat turut sama-sama menghulurkan tangan membantu,” katanya. – UTUSAN