DSP polis, lima lagi tidak mengaku rompak babit kerugian RM4.4 juta

DSP polis, lima lagi tidak mengaku rompak babit kerugian RM4.4 juta

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) antara enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengacukan pistol dan melakukan rompakan secara berkumpulan, awal bulan ini.

Pegawai polis itu, Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41; bersama lima lagi tertuduh iaitu Abd Samat Shaari, 44; Faridzuan Yahya, 31; Lim Cheal Kei, 51; Yeoh Choon Siang, 47; dan L Jijayendran, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.

Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut dua pertuduhan, Ahmad Ruzaini didakwa bersama lima tertuduh melakukan rompakan dengan menunjukkan senjata api iaitu sepucuk pistol terhadap dua individu sehingga mendatangkan ketakutan kematian.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan maksimum enam sebatan.

Ahmad Ruzaini turut didakwa atas satu pertuduhan bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang individu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di tiga rumah di Kepong di sini, antara jam 4 pagi hingga 8.10 pagi, pada 5 April lalu.

Sementara itu, lima lagi tertuduh turut didakwa atas tiga pertuduhan sama di lokasi dan pada masa serta tarikh yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail manakala Ahmad Ruzaini diwakili peguam John Ramesh Das, Marthavan Manikam (Abd Samat, Faridzuan dan Lim) serta R Kirthiraj (Yeoh dan Jijayendran).

Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei depan.

Harian Metro pada 8 April lalu melaporkan, enam lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat DSP ditahan selepas menyamun kediaman warga asing membabitkan kerugian RM4.4 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, mangsa membabitkan lelaki warga China, wanita warga China dan wanita warga Indonesia berusia 29 hingga 52 tahun.

Dalam ketiga-ketiga kejadian itu, suspek melarikan tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Rolls Royce dan Bentley serta satu peti besi, wang tunai RM24,200, AS$1,200, pelbagai barang kemas dan dua jongkong emas.

Katanya, pegawai polis itu pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan digantung tugas sejak 23 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top