'Kita tak ikut rentak politik negeri lain' – Ab Rauf

'Kita tak ikut rentak politik negeri lain' – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Kerajaan Melaka tidak tergesa-gesa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun Johor dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan pembubaran masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana tempoh habis penggal DUN Melaka hanya berakhir pada hujung tahun ini dan dalam tempoh berkenaan, pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Beliau berkata, situasi politik dan pentadbiran di Melaka berbeza dengan Johor serta Negeri Sembilan, justeru tiada keperluan untuk pembubaran dilakukan dalam masa terdekat.

“Suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN secara segera.

“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya selepas mengadakan majlis kesyukuran di kediamannya di Kampung Pulau, di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan Melaka mengikut langkah Johor dan Negeri Sembilan membubarkan DUN dalam masa terdekat bagi membolehkan PRN dilakukan secara serentak.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata Melaka tidak akan terikut dengan rentak politik negeri lain, malah kerajaan negeri mempunyai acuan dan pertimbangan tersendiri dalam menentukan masa sesuai untuk membubarkan DUN.

Katanya, segala keputusan berkaitan pembubaran DUN perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta keutamaan untuk menyelesaikan urusan membabitkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Beliau berkata, Melaka juga mahu memberi tumpuan membantu jentera parti menghadapi PRN di Johor dan Negeri Sembilan sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat negeri ini.

“Kita tidak mahu mengikut muzik yang dimainkan oleh orang lain, kita juga tidak akan menari mengikut rentak mereka.

“Rentak mereka adalah rentak mereka, rentak Melaka adalah rentak Melaka.

“Namun sebagai negeri jiran, kita akan memberikan kerjasama membantu jentera BN bagi memenangkan parti di Johor dan Negeri Sembilan.

“Hasil keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri itu nanti akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat di Melaka,” katanya.

Mengulas desakan beberapa pihak supaya DUN Melaka dibubarkan segera, beliau menegaskan tidak tertekan dengan tekanan politik berkenaan.

“Saya mempunyai perkiraan dan aturan tertentu yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran serta urusan kerajaan negeri terlebih dahulu,” katanya.

Ab Rauf bagaimanapun, berkata beliau tidak menolak kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.

“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top