MIRI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang lagi polis bantuan yang maut selepas dihanyutkan dalam tragedi kepala air di Ulu Baram pada Khamis lalu, sedang melakukan rondaan rutin di kawasan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, mangsa adalah Sarjan Simon Laja, 47, dari Batalion 12 PGA Miri dan anggota polis bantuan dikenali sebagai Sarjan Kemiang.
Simon mengetuai tiga anggota polis bantuan SSGP Kem Layun dan tiga pekerja Syarikat Samling Timber Sdn Bhd dalam satu rondaan di sepanjang Sungai Melana, Long Kerangan di Baram ketika kejadian itu berlaku pada jam 6 petang.
“Mereka sedang berjalan dalam sungai yang cetek sebelum dihanyutkan kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.
“Lima daripada mereka berjaya menyelamatkan diri kecuali Sarjan Simon dan Sarjan Kemiang, yang didapati hilang selepas itu,” kata Aidi dalam kenyataan di sini.
Aidi berkata satu pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada tujuh anggota PGA dan 27 pekerja Samling digerakkan selepas itu.
Mayat Simon ditemukan kira-kira 2 petang semalam manakala, mayat Kemiang ditemukan pada 2.30 petang hari yang sama pada jarak satu kilometer daripada lokasi penemuan mangsa pertama.
“Kedua-dua jasad kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long Lama sebelum dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Untuk rekod, Syarikat Samling Timber Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sivil di SSGP pada 28 Januari tahun lalu.
Projek SSGP adalah saluran paip gas asli sepanjang 512 kilometer dan berdiameter 91.4cm yang menghubungkan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dan adalah sebahagian Projek Minyak dan Gas Bersepadu Sabah-Sarawak (SSIOGP).
Sumber: Bernama
Malay News
National Desk