Dua atlet negara dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM 2022

Dua atlet negara dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM 2022

DUA atlet negara, Mohd Aniq Kasdan, 21, dan Nur Ain Nabilah Tarmizi, 25, muncul sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2022 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2022 malam ini.

Mohd Aniq sebelum ini berjaya meraih pingat emas dalam acara angkat berat, manakala Nur Ain Nabilah memperoleh perak acara boling padang pada temasya Sukan Komanwel Birmingham, England pada tahun lalu.

Kedua-dua atlet yang juga mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi itu masing-masing membawa pulang sijil, piala pusingan dan piala iringi, serta hadiah wang tunai RM1,000 disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi.

Sementara itu, Mohd Aniq yang ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan UiTM 2022 itu melahirkan kesyukuran dengan penghargaan buat kali pertama sebagai Olahragawan UiTM.

Anak keempat dari tujuh beradik itu berkata, anugerah itu memberi satu motivasi untuk dirinya melakar lebih banyak kejayaan pada tahun ini dan mengharumkan nama UiTM di persada dunia termasuk dalam pencapaian akademik.

“Sukan dan pelajaran perlu seimbang kerana kalau kita hanya bersukan sukar untuk kita melangkah jauh kerana tiada ilmu, jadi kena seimbangkan kedua-duanya,” katanya.

Nur Ain Nabilah ketika ditemui pemberita pula berkata, dia agak terkejut kerana dinobatkan sebagai Olahragawati UiTM 2022 kerana pernah memenangi anugerah sama pada 2019.

“Ini mungkin antara rezeki selepas memenangi pingat Perak (tahun lalu) pada Sukan Komanwel sekaligus saya terpilih sebagai Olahragawati UiTM pada tahun 2022,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sazili berkata, seramai 41 atlet negara yang sedang mengikuti pengajian di UiTM secara sepenuh masa terlibat dalam pelbagai jenis sukan dengan pelbagai pencapaian dilakar pada 2022.

“Atlet UiTM juga merangkul kejayaan membanggakan melalui sukan di peringkat antarabangsa antaranya Sukan Komanwel di Birmingham, England bagi kategori sukan angkat berat dan sukan boling padang,” katanya.

Selain itu, jelasnya, seramai 22 atlet UiTM menyertai Kejohanan Sukan Sea Hanoi dan 10 atlet berjaya merangkul empat perak dan enam gangsa melalui acara petanque, sepak takraw, berbasikal, muay thai, catur, futsal, dan angkat berat.

“Dalam Kejohanan Asean University Games di Ubon Ratchathani, Thailand pula, tiga emas, 10 perak dan lima gangsa disumbangkan atlet UiTM kepada kontinjen negara.

“Penyertaan para atlet di kejohanan antarabangsa ini pastinya memberikan impak yang besar di dalam meningkatkan pencapaian dan juga kematangan mereka,” katanya.

Tambahnya, selain penglibatan atlet bersama pasukan negara, UiTM juga telah terlibat di dalam Liga Sukan Kebangsaan.

“Antaranya Pertandingan Bola sepak Liga Perdana, Liga Bola sepak Piala Presiden Bawah 21 Tahun, Liga Bola Sepak Piala Belia Bawah 19 Tahun dan Kejohanan Liga Hoki Premier Malaysia,” katanya.