nurul.hidayah@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menggunakan simbol parti berkenaan bagi calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional (PN) ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, dengan BERSATU tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN.
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 12 Julai lalu terpaksa ditangguhkan kerana PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
“BERSATU berpendirian bahawa perkara ini mesti dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu kerana ia membabitkan dasar dan hala tuju parti yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi.
“Malangnya, sehingga kini Majlis Tertinggi PN tidak dipanggil bermesyuarat dan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa ada tarikh baharu yang ditetapkan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota PN.
“Kegagalan Pengerusi PN memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menentukan dasar dan hala tuju parti pada saat genting ketika PN sedang menghadapi PRN Negeri Sembilan adalah amat dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di sini, malam tadi.
Muhyiddin berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan PAS mengadakan rundingan dengan BN tanpa membabitkan semua parti anggota PN dan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.
“Kami rasa kecewa dengan keputusan-keputusan ‘unilateral’ PAS yang bertentangan dengan kepentingan PN.
“Kenyataan-kenyataan dikeluarkan pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN.
“Ia jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH,” katanya.
Menurutnya, BERSATU juga mengambil maklum mengenai hasrat beberapa parti politik yang ingin menggunakan simbol BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan dan bersetuju memberikan kebenaran kepada calon parti berkenaan.
“PN yang dipimpin oleh PAS sudah menyimpang daripada matlamat dan dasar perjuangan PN termasuk mempertahankan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.
“Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS mutakhir ini mengundang kesangsian rakyat, terutamanya anak-anak muda mengenai komitmen PN untuk terus mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang stabil, aman dan harmoni,” katanya.
Menurutnya, BERSATU sebagai sebuah parti pribumi yang inklusif mendukung nilai-nilai
Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan ciri-ciri kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Justeru itu, BERSATU mengambil pendirian untuk kekal sederhana dan progresif serta memperjuangkan dasar-dasar yang menyokong kemajuan ekonomi serta prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Dengan iltizam untuk menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Negeri Sembilan, saya dengan ini menyeru semua pengundi untuk menyokong dan mengundi calon-calon BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




