Dua beradik lemas: 'Banyak kebaikan mereka berdua'

Dua beradik lemas: 'Banyak kebaikan mereka berdua'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kajang: Dua beradik lelaki yang lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, di sini, Rabu lalu, disifatkan sebagai pasangan yang sangat rapat dan sukar dipisahkan sejak kecil.

Bapa mereka, Khairul Ikram Baharin, 47, berkata kedua-dua anaknya, Allahyarham Khalish Shahdan, 14, dan adiknya Qayyum Shaqeel, 12, sering melakukan aktiviti bersama malah jarang berenggang.

Menurutnya, detik terakhir bersama Allahyarham Khalish Shahdan ialah ketika remaja itu mengetahui adiknya menerima tawaran memasuki sekolah asrama.

“Dia sebenarnya gembira adik dia dapat sekolah asrama, tapi sebagai seorang abang, saya nampak dia macam berat hati sebab mereka memang rapat.

“Abangnya cuma ada seorang adik lelaki,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, hari ini.

Bapa enam cahaya mata itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kawan kepada anaknya yang datang ke rumah dan memaklumkan dua beradik itu dihanyutkan arus deras.

“Saya terus hubungi talian kecemasan 999 dan cuba cari mereka sementara menunggu bantuan tiba.

“Dalam hati, saya berharap boleh segera temui dan selamatkan kedua-dua anak lelaki saya,” katanya.

Khairul Ikram yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah, manakala isterinya, Suzieana Ibrahim, 46 yang berkhidmat sebagai guru pula mengajar sesi petang di SMK Taman Connaught, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, tiada sebarang petanda mencurigakan ditunjukkan kedua-dua anaknya.

“Cuma saya ada menegur si adik sebab kebelakangan ini dia kerap keluar malam. Biasanya dia keluar siang sahaja.

“Apabila saya tanya kenapa kerap keluar waktu malam, dia kata nak habiskan masa dengan kawan-kawan dan juga dengan abangnya sebelum masuk asrama tahun hadapan,” katanya.

Menurut Khairul Ikram, Qayyum Shaqeel yang aktif dalam sukan bola sepak menerima tawaran asrama di SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban bermula Januari depan.

“Abangnya memang berat hati, tapi dia sempat cakap dengan saya, nanti bila ada perlawanan adik dia, bolehlah kami pergi tengok sama-sama,” katanya sebak.

Sementara itu, anak sulung, Kamielya Shazreen, 20, menyifatkan kedua-dua adiknya sebagai baik dan rajin membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bertam, Pualu Pinang itu berkata, kehilangan Khalish Shahdan dan Qayyum Shaqeel amat dirasai olehnya serta adik beradik lain iaitu Khayra Sofea, 17; Khalya Sarah, 16, dan Khayla Syazzia, 10.

“Perasaan rindu dan sedih. Banyak kebaikan mereka berdua.

“Kalau ada apa-apa yang jadi, mereka sangat ringan tulang dan selalu ke masjid berhampiran rumah.

“Saya paling ingat, setiap Ramadan, mereka berdua selalu tidur di masjid untuk qiamulail. Khalish Shahdan dan Qayyum Shaqeel memang rapat sangat,” katanya.

Terdahulu, dua beradik itu dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas terjatuh dibawa arus detas ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.

Mayat si adik, Qayyum Shaqeel ditemui kira-kira dua kilometer (km) dari lokasinya terjatuh jam 7.47 malam, pada Khamis, namun disahkan meninggal dunia jam 10 malam ketika menerima rawatan di hospital.

Mayat Khalish Shahdan pula ditemui dalam takungan air berhampiran sebuah pasar raya di Prima Saujana pada 8.45 malam, Sabtu.

Jenazah mereka masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top