Dua beradik OKU bangkit berniaga nasi bungkus demi kelangsungan hidup

Dua beradik OKU bangkit berniaga nasi bungkus demi kelangsungan hidup

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: “Saya memang minat berniaga, jadi apa dilakukan ini ikhtiar saya bersama adik demi kelangsungan hidup kami.

“Semoga orang ramai dapat menyokong perniagaan kecil-kecilan kami yang baru nak bermula.”

Demikian tekad penghidap sakit buah pinggang tahap lima, Muhd Firdaus Abdul Kadir, 36, ketika berkongsi perkembangannya yang kini menjual nasi bungkus berlauk bersama adiknya, Muhammad Farhan Abdul Kadir, 31.

Menurut Muhd Firdaus, gerai kecil mereka itu terletak di sebuah tapak berbumbung di hadapan Surau Jenaris dekat Taman Jenaris, di sini, dan dibuka bermula semalam pada jam 3.30 petang hingga jualan habis.

Muhd Firdaus berkata, dia dan adiknya tidak menyediakan sendiri makanan berkenaan sebaliknya mencari untung dengan membantu menjual nasi bungkus berlauk diusahakan pelakon, Taiyuddin Bakar yang juga rakan mereka.

Sebagai permulaan, dia dan adiknya menjual 60 bungkus nasi ayam belado pedas, ayam kicap, kerang tempe cili padi dan sambal bilis petai.

Dia bersyukur kerana semuanya habis terjual pada hari pertama jualan semalam.

“Saya tanya Taiyuddin ada peluang atau tidak untuk berniaga dan dia menyambut baik dengan beri peluang buka cawangan di tapak niaga berhampiran rumah saya.

“Saya keluarkan modal berbekalkan wang simpanan dan syukur dapat berniaga serta usaha cari duit selepas sekian lama tidak keluar bekerja.

“Ini baru permulaan baru buat saya dengan adik dan harapnya perniagaan kami bertahan. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang bagi sumbangan selepas kisah kami disiarkan di Harian Metro.

“Tak terbalas jasa mereka kepada saya dan adik. Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya,” katanya ketika ditemui di tapak niaganya dekat Taman Jenaris, di sini.

Sementara itu, adiknya, Muhammad Farhan mengakui gemuruh untuk memulakan perniagaan selepas sekian lama tidak bekerja walaupun dulunya seorang yang peramah.

Bagaimanapun, Muhammad Farhan melihat keperluan menambah pendapatan dengan berniaga kerana sedar tidak boleh mengharapkan bantuan diterima daripada agensi atau ihsan insan sekeliling saja.

“Saya tengok di TikTok dan terjumpa siaran langsung Taiyuddin ketika berniaga, jadi nampak ia peluang untuk menjana pendapatan sepertinya.

“Insya-Allah, hasil perniagaan ini dapat menampung kos rawatan di hospital selain bantu membayar bil elektrik dan air (utiliti) juga makan minum saya dengan abang.

“Itu harapan saya dan terima kasih kepada semua penyumbang, moga Allah SWT murahkan rezeki kalian, beri kesihatan dan tempatkan syurga buat yang menderma.

“Terharu juga kerana tak sangka ramai rakyat Malaysia sanggup bantu kami dalam keadaan ekonomi sekarang. Semoga ada yang sudi datang ke gerai kami supaya perniagaan berterusan dan hasil jualan dapat tampung kos sara hidup saya dengan abang,” katanya yang menyimpan hasrat bertemu usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Muhd Firdaus dan Muhammad Farhan yang hanya tinggal berdua serta tiada sesiapa untuk bergantung harap selepas kematian ibu bapa mereka.

Lebih memilukan, Muhd Firdaus dan adiknya, Muhammad Farhan yang kedua-duanya berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal sudah tidak dapat bekerja kerana faktor kesihatan.

Lantaran itu, kebanyakan masa mereka dihabiskan di rumah dan kebiasaannya keluar bersama untuk menjalani rawatan dialisis di Sungai Merab, dekat sini pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

Muhd Firdaus juga menghidap darah tinggi dan mengalami masalah penglihatan kerana rabun jauh mata kanan serta buta pada sebelah kiri.

Manakala adiknya hanya mempunyai tahap penglihatan 30 peratus selain hilang keupayaan berjalan kerana perlu bergerak dengan menggunakan kerusi roda juga alat bantuan berjalan.

Orang ramai yang berhasrat membantu mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162021658002 atas nama Muhammad Farhan Abdul Kadir atau akaun Bank Islam bernombor 12092024086263 atas nama Muhd Firdaus Abdul Kadir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top