am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket Love Scam di sebuah bangunan kedai yang dijadikan sarang ‘Calling Centre’ di kawasan perindustrian ringan Kristal, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bertindak atas maklumat pada jam 1.40 petang hari kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas bangunan terbabit yang membabitkan warga asing.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki warga China berusia antara 21 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti sindiket Calling Centre.
“Hasil pemeriksaan polis melakukan rampasan 58 peralatan yang digunakan iaitu 34 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba, tujuh unit tetikus, lima unit papan kekunci dan banyak lagi.
“Anggaran nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM50,000, ” katanya pada sidang media di IPK Kedah, hari ini.
Adzli berkata, semua mereka direman selama empat hari bermula Selasa lalu sehingga esok.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Sindiket ini beroperasi sejak bulan Jun lalu, yang mana kesemua tangkapan warga China yang telah direkrut di negara asal mereka untuk peluang pekerjaan di Malaysia.
“Apabila setuju, sindiket ini akan menyediakan tiket penerbangan sehingga bawa mereka ini ke tempat kejadian untuk bekerja.
“Mereka akan dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang sebulan dan berdasarkan peranan yang berbeza, ” katanya.
Adzli berkata, modus operasi mereka dengan mewujudkan dua aplikasi untuk berbual di laman sosial dengan menggunakan wajah wanita dan lelaki dan tampan untuk menarik minat mangsa.
Beliau berkata, apabila sasaran mereka mengena, sindiket ini akan meminta nombor akaun dengan mengikut skrip yang ditetapkan untuk menipu mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




