Dua beradik 'patah kaki' sambut Aidilfitri, kereta disita kerana berlumba

Dua beradik 'patah kaki' sambut Aidilfitri, kereta disita kerana berlumba

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tiga lelaki termasuk dua beradik ‘patah kaki’ menyambut lebaran dijangka Isnin ini apabila kenderaan masing-masing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana berlumba sesama sendiri, 9.30 malam tadi.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, tiga lelaki masing-masing berusia awal 30-an dikesan memandu secara berbahaya di Jalan Semarak, Bukit Tunggal, menghala ke bandar ini.

Katanya, ketika kejadian, sebuah kenderaan milik JPJ yang dalam perjalanan dari Besut melalui jalan berkenaan ternampak tiga kenderaan terbabit memandu secara berbahaya dan berlumba sesama mereka.

“Kenderaan jababtan yang turut dinaiki Timbalan Pengarah JPJ Terengganu (Sallehuddin Mat Nasir) kemudian mengekori kereta terbabit sejauh hampir tiga kilometer sebelum menahan mereka di persimpangan lampu isyarat berhampiran bangunan jabatan berkenaan sebelum diarahkan ke pejabat JPJ,” katanya kepada NSTP, malam tadi.

Katanya, saman dikeluarkan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, selain saman membabitkan kesalahan lain antaranya nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kita menyita semua tiga kenderaan terbabit untuk dijadikan bukti pendakwaan di mahkamah,”katanya.

Sementara itu, seorang daripada lelaki terbabit mendakwa datang dari Kemaman untuk berbuka puasa dengan adiknya yang tinggal di Kampung Durian Burung, di sini.

Menurutnya selepas berbuka puasa di kawasan Kuala Nerus, mereka kemudian menuju ke bandar ini melalui Jalan Semarak, Bukit Tunnggal.

“Saya nampak kereta belakang ‘beri lampu’ tetapi tidak sangka kenderaan JPJ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top