Butterworth: Dua beranak yang ditemukan maut dalam sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, semalam, didapati ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.
Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor berkata hasil bedah siasat mendapati kematian wanita dan anak perempuannya itu berpunca daripada kecederaan parah akibat tetakan di bahagian belakang leher.
“Pemeriksaan turut mendapati corak kecederaan pada kedua-dua mangsa (ibu dan anak) hampir sama dan perbuatan itu (tetak) dipercayai berlaku dalam tempoh serangan yang sama,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata hasil penelitian terhadap corak tetakan mendapati tetakan itu tidak mungkin dilakukan menggunakan pisau biasa sebaliknya lebih menjurus kepada pisau pemotong daging dan pihaknya tidak menolak kemungkinan si ibu menjadi mangsa pertama sebelum suspek menyerang anaknya.
Dr Zahari berkata terdapat kecederaan lain ditemukan pada anggota badan mangsa yang menunjukkan mangsa cuba menangkis serangan, justeru pihaknya percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek ketika kejadian.
Semalam mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mayat wanita berusia 51 tahun dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam.
Setakat ini siasatan polis menjurus kepada bunuh dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta polis telah menahan reman suami wanita terbabit berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan.
Terdahulu, proses bedah siasat mayat wanita berkenaan dan anaknya selesai dijalankan pada 4.30 petang tadi, sebelum dimandi dan dikafankan.
Jenazah dituntut ahli keluarga pada 5.55 petang dan dibawa pulang ke kampung halaman di Jeneri, Sik, Kedah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jeneri.
• Ibu, anak mati dibunuh: Kematian kedua-dua mangsa akibat tetakan di belakang leher
• Kes bunuh wanita dan kanak-kanak 11 tahun: Sariya ambil Nur Afrina sebagai anak angkat sejak kecil
- Lelaki ditahan polis
- Rakaman suara tular: ‘Isteri aku dengan anak aku kena bunuh’
- Suami sebak beritahu jiran anak isteri mati dibunuh
- Ibu, anak dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan
© New Straits Times Press (M) Bhd




