Kereta Singapura pandu keluar bersama pam minyak terpasang, cetus panik di stesen minyak di JB

Kereta Singapura pandu keluar bersama pam minyak terpasang, cetus panik di stesen minyak di JB

Johor Bahru: Sebuah stesen minyak di Jalan Skudai, dekat sini terpaksa menghentikan sementara operasi selepas sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura memandu keluar dengan pam minyak masih terpasang, menyebabkan seluruh kios tercabut dalam kejadian kelmarin.

Kejadian pada Jumaat dipercayai pada jam 10.15 malam itu dirakam dalam bentuk foto serta video oleh penduduk Johor, Chen Zi Xin, yang kebetulan berada di lokasi dan kemudian memuat naik di Facebook, lapor The Straits Times.

Dalam video terbabit, kelihatan seorang pekerja stesen minyak berlari ke arah kios yang telah runtuh, manakala seorang lelaki keluar dari kereta dengan nombor pendaftaran Singapura.

Zi Xin memaklumkan, bapanya menyaksikan seorang pekerja cuba menahan pemandu untuk memaklumkan mengenai insiden itu, manakala keluarganya segera meninggalkan stesen minyak kerana takut berlaku letupan.

Sekurang-kurangnya tiga lagi pemandu meninggalkan kenderaan mereka ketika operasi stesen minyak itu dihentikan atas faktor keselamatan.

Seorang pekerja yang bertugas ketika kejadian berkata, laporan polis telah dibuat dan syarikat insurans stesen juga telah dimaklumkan.

Pam terjejas masih ditutup sementara pemeriksaan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Pemandu kereta terbabit, lelaki warga Singapura berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan memohon maaf berulang kali dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kakitangan stesen.

Beliau menunggu di stesen minyak sehingga jam 3 pagi bagi menyelesaikan urusan berkaitan dengan pihak berkuasa dan pengurusan stesen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top